Jumaat, 13 April 2018

'SPR, rakyat perhati kamu'

MALAYSIAKINI/ ANWAR IBRAHIM

   
ULASAN | Beberapa keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mutakhir ini mengesahkan keraguan ramai terhadap ketelusan, kebebasan dan keadilan SPR.

Pertama, hari mengundi (hari Rabu) nyata adalah percubaan menghindari pengundi terutama pekerja di daerah berjauhan untuk pulang mengundi.

Kedua, tempoh kempen selama 11 hari adalah di antara tempoh terpendek di dunia.

Umno-BN diizin berkempen sejak awal, menggunakan media termasuk media rasmi kerajaan.
Ketiga, senarai pengundi digunakan terbatas hingga 2017.

Dengan segala kecanggihan teknologi dan dana RM500 juta ringgit diperuntukkan kepada SPR, apakah masalah menggunakan senarai hingga Mac 2018.

Ramai anak-anak muda mendaftar awal tahun ini. Apakah muslihat menafikan hak pengundi yang mendaftar di awal tahun 2018?

Keempat, negara-negara yang diundang sebagai pemerhati harus terdiri dari negara yang terkenal mengendali pilihan raya yang jujur dan adil seperti India, Indonesia, Turki dan Filipina.

Pilihan pemerhati dari negara yang diketahui mengendali pilihan raya dengan tipu helah dicurigai mengesahkan tindakan SPR.

Akhirnya, perlu saya tegaskan kepada SPR, bahawa rakyat sedang memerhati tindak-tanduk mereka.

Media sosial akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memantau dan menilai kerja mereka.

Apakah ada kesediaan SPR untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bebas, jujur dan adil?

ANWAR IBRAHIM bekas ketua pembangkang dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh.

Tiada ulasan: