Khamis, 5 April 2018

Sejarah Buktikan Pakatan Akan Hancur Jika Tidak Akur Kehendak DAP – Dr Kamarul


 

 
 

Ada pihak tertentu yang meramalkan bahawa mana-mana pakatan politik yang disertai oleh DAP akan sentiasa dipenuhi masalah dan tidak akan dapat bertahan lama, melainkan jika semua ahlinya boleh akur kepada kehendak DAP.

Perpecahan di dalam Barisan Alternatif adalah berpunca daripada tindakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menarik diri darinya pada 22 September 2001 setelah DAP gagal memaksa PAS menggugurkan penegakan negara Islam sebagai prinsip perjuangan PAS.

Terkuburnya Pakatan Rakyat juga adalah berpunca daripada ketegasan DAP menolak perlaksanaan syariat Islam seperti yang tertera di dalam ucapan Lim Guan Eng di Singapura pada 10 Disember 2014 bahawa DAP sedia melihat Pakatan Rakyat berpecah jika PAS menyerahkan usul untuk melaksanakan hudud di Parlimen dan di dalam pengakuan Lim Guan Eng pada 26 Disember 2017 bahawa DAP membuat tindakan yang betul bila memutuskan hubungan dengan PAS demi menegakkan prinsip perjuangan DAP.

Kesemua pemutusan hubungan di dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat ini berlaku di dalam keadaan di mana kedua-dua pakatan politik ini membenarkan wujudnya prinsip setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree).

Sekarang ini, di dalam Pakatan Harapan, prinsip setuju untuk tidak bersetuju ini sudah tiada dan digantikan dengan persetujuan sebulat suara (konsensus) antara semua ahli.

Di dalam keadaan begini pun ternyata DAP masih mahu menunjukkan belangnya di mana walaupun Pakatan Harapan telah mencapai konsensus pada 27 Februari 2018 supaya semua ahli menggunakan logo sama dalam PRU 14, DAP masih lagi mahu diberikan keistimewaan untuk menggunakan logo sendiri demi kepentingan DAP sendiri.

Jelas kelihatan bahawa di dalam kepala pemimpin DAP kepentingan DAP sendirilah yang paling utama dan berbohonglah jika sesiapa mahu meyakinkan diri sendiri atau orang lain bahawa usaha pemartabatan Islam akan tetap boleh dilakukan walaupun sesuatu pakatan politik itu turut disertai oleh DAP.

Bagi DAP, sekular dan Malaysian Malaysia adalah yang paling utama, dan apa atau sesiapa sahaja yang boleh menggugat kedua-dua perkara ini sudah tentulah akan ditentang habis-habisan hingga ke peringkat sanggup memecahkan pakatan politik yang disertainya.

Selain terpaksa membuang masa untuk membetulkan antik-antik yang dibuat oleh pemimpin tua pelupa seperti Tun Dr Mahathir, cabaran terbesar Pakatan Harapan selepas ini ialah untuk melayani kerenah-kerenah yang ditimbulkan oleh parti berlagak ketua seperti DAP.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).





Tiada ulasan: