Jumaat, 27 April 2018

'Saya beri Najib 3 hari, kalau berani panggil saya anti-Islam'

MALAYSIAKINI

   

Veteran DAP Lim Kit Siang mencabar Datuk Seri Najib Razak tidak berselindung di sebalik kenyataan lama Tun Dr Mahathir Mohamad bekaitan DAP, sebaliknya mengucapkan sendiri perkara itu.

“Saya akan saman Najib di mahkamah jika dia berani tuduh saya anti-Melayu dan anti-Islam, kerana ini jelas bohong dan fitnah.

“Saya beri Najib tiga hari untuk tuduh saya anti-Melayu dan anti-Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata beliau meneliti ucapan-ucapan perdana menteri dengan teliti dan mendapati Najib berhati-hati untuk membuat tuduhan itu, sebaliknya sering memetik kenyataan Mahathir ketika memimpin BN.

Sebagai contoh, kata Lim, di media sosialnya, Najib memetik Mahathir sebagai berkata DAP anti-Melayu dan anti-Islam, ketika mendakwa Mahathir menggunakan parti itu untuk memecahkan undi Melayu.

Lim berkata, kenyataan Mahathir itu dibuat ketika bekas perdana menteri 22 tahun itu belum terdedah kepada prinsip dan objektif sebenar DAP.

Lim berkata, sebagai parti untuk seluruh rakyat Malaysia, DAP mempromosikan hak dan kebajikan semua orang tidak kira agama dan bangsanya.

“Dalam DAP, tiada tempat untuk pihak yang anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan atau anti-Dayak, seperti tiada juga tempat untuk mereka yang anti-Islam, anti-Buddhisme, anti-Kristian, anti-Hindu, anti-Sikh or anti-Taoisme,” katanya.

Lim juga mendakwa Najib telah mengabaikan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan sendiri dengan menyebarkan politik kebencian menjelang pilihan raya umum 9 Mei ini.


Tiada ulasan: