Isnin, 30 April 2018

Sanjeevan bebas tuduhan pemerasan

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban hari ini melepaskan dan membebaskan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan daripada pertuduhan pemerasan dua tahun lepas.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan.

“Setelah mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan oleh itu mahkamah melepaskan tertuduh daripada pertuduhan ini,” kata Mohd Zaki.

Mengikut pertuduhan, Sanjeevan didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Goh Toh Hon di Plaza Tol Nilai Lebuhraya Utara-Selatan pada kira-kira pukul 10.45 malam, 22 Jun 2016.

Sanjeevan didakwa akan mendedahkan aktiviti perjudian haram yang dikendalikan oleh Goh dan sekali gus mendorong mangsa dengan curangnya menyerahkan wang tunai berjumlah RM25,000 kepada tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Saiful Hazmi Mohd Saad dan Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam S.Prakash dan Gobind Singh Deo.— Bernama

Tiada ulasan: