Rabu, 4 April 2018

Rizalman persoal penglibatan SPRM dalam penahanannya

Wartawan MalaysiaGazette
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar


KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak mempertikaikan kehadiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu penahanannya Isnin lalu.

Datuk Rizalman Mokhtar dalam rakaman video yang dimuatnaik setiausaha bahagiannya, Zaharin Mohd. Yassin mendakwa kehadiran SPRM amat mencurigakan dalam penahanannya.

“Kemudian, seawal jam 2 pagi, tiba-tiba bilik itu telah diserbu oleh SPRM dan pegawai polis.

“Mereka terus menuju ke bilik tersebut. Bukan operasi yang pergi setiap bilik. Terus pergi ke bilik 202.

“(Mereka) terus minta IC, tanya minum apa dan terus bawa kami ke balai. Proses tersebut berlaku dalam 15 minit,” katanya dalam klip video berkenaan mengimbas detik penahanannya di sebuah kelab malam dan kemudiannya ujian air kencingnya positif dadah baru-baru ini.

Ia dipercayai rakaman semasa Rizalman menerangkan apa yang berlaku kepadanya kepada ketua-ketua cawangan UMNO Bahagian Tun Razak malam semalam.

Bagaimanapun, pada sidang media hari ini, Rizalman tidak mengulas panjang mengenai rasa curiganya terhadap penglibatan SPRM.

Dalam video Zaharin, Rizalman berkata, ketika tiba di balai polis, situasi lebih pelik terjadi apabila kesemua 12 tahanan diperiksa urin dengan jagaan pegawai SPRM.

“Sampai di sana, terus dibuat pemeriksaan air kencing dengan disaksikan sendiri oleh pegawai SPRM, yang memang tak pernah dilakukan pun, dan (perkara ini) diperakui oleh polis.

“Pemeriksaan air kencing pun saya susah nak kencing. Saya kencing dua orang tunggu kiri dan kanan,” katanya.

Jelas Rizalman lagi, keputusan pemeriksaan air kencingnya yang terakhir diproses.

“Kawan-kawan semua diorang punya kencing memang telah positif. Ketika saya punya keputusan keluar positif saja, mereka (lima orang pegawai SPRM) terus keluar.

“Bila mereka (pegawai SPRM) balik, polis bagitahu saya bahawa ini di luar kebiasaan. Mereka (polis) syak saya ada sebarang masalah dengan SPRM sebab yang mengusahakan serbuan ini adalah SPRM .

“Tetapi apa yang dicari, saya tak tau,” katanya.

Mengulas lanjut, Rizalman berkata, dari segi prosiding mahkamah, dia hanya akan didapati bersalah selepas keputusan dikeluarkan oleh makmal bahawa dia positif dadah.

Namun peliknya, kata Rizalman, polis mengeluarkan kenyataan berdasarkan saringan awal dan berita mengenainya tular seawal 6 pagi.

“Sepatutnya dikatakan “dalam siasatan”. Tapi segala-galanya telah terkeluar. Saya tidak tahu macam macam benda ni berlaku.

“Saya yakin ini merupakan satu game plan (rancangan) yang sangat terancang yang mengunakan segala sumber yang ada. Kesalahan saya adalah berada di tempat yang salah pada waktu yang salah.

“Game plan ini memang terancang akhirnya untuk merosakkan dan merosakkan nama (saya) supaya mengurangkan peluang kami (dalam pilihan raya),” katanya.

Rizalman menegaskan beliau dan rakan-rakannya hanya memesan dan minum Nescafe 3-in-1 ketika di kelab malam itu serta tidak mengambil apa-apa dadah.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: