Rabu, 18 April 2018

Rabu ertinya tipu

Hishamuddin Rais
 
 
  Hanya mat pet, mat gian, mat bangang, mat sotong, mat Eddi Wang dan raja syabu sahaja yang tidak faham apa makna Rabu untuk PRU14. Mereka ini adalah 'warga berdengung'. Kepala mereka telah dirasuk oleh syabu. Sosok bentuk ini berkeliaran menjadikan mereka pergi tersepak pulang terlanggar.

Mat gerombolan dan mat ketuanan Melayu pula buat buat tak faham apa makna hari Rabu 9 Mei 2018, walaupun dalam hati sanubari mereka tahu apa bahana yang akan dibawa oleh Rabu.

Walhal satu Malaysia, malah satu dunia tahu bahawa Rabu ini memberi makna bahawa Pakatan Harapan menang PRU14, kecuali ditipu. Rabu itu maknanya tipu.

Hari Rabu yang diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah hari penipuan.

Najib suami Rosmah, ayah tiri Riza Aziz dan rakan Jho Low tahu dan dikatakan sedar bahawa dirinya tidak ada pilihan melainkan menipu untuk terus berkuasa.

Waspada, penipuan ini tersusun lagi terancang. Malah dipermolekkan dengan pelbagai bentuk hukum dan hakam. Ini menjadikan Tuan Haji Hadi Awang pemimpin ulung parti Islam PAS percaya bahawa Najib inilah pemimpin Bani Melayu yang syumul, alim, warak dan tak tinggal sembahyang sambil mulut berbuih-buih menyebut Ya Rabbi. Amin.

Hadi Awang telah dilaporkan berkata mengundi pada hari Rabu bukan satu masalah. Awas waspada sokongan Tuan Haji Hadi Awang terhadap Rabu ini jangan dikaitkan dengan dedak.




Hakikatnya Najib tidak ada pilihan. Pada Rabu 9 Mei dalam PRU14 ini Pakatan Harapan menang, kecuali ditipu.

Fakta ini telah diketahui oleh satu dunia. Telah diumumkan ke satu dunia. Kitab suci kaum Kapitalis Dunia yang dipanggil The Economist telah mengeluarkan lidah pengarang memberi tahu dunia bahawa Najib akan kalah PRU14. Untuk menang Najib akan menipu.

Kaum pemodal antarabangsa telah diberitahu untuk bersedia. Bersedia untuk apa? Bersedia untuk satu kerajaan baru di Malaysia.

Ini fatwa dari The Economist. Ini bukan laporan mingguan Bacaria atau majalah Mastika atau pandangan Profesor Datuk Dr Keng Kong dari Universiti Utara aka Universiti Sintok. Ini tulisan lidah pengarang majalah The Economist.

Penipuan semakin jelas. Semakin terang. Dalam tulisan ini saya akan cuba menerangkan jika masih ada lubuk lubuk penipuan yang masih gelap. Saya juga memperjelaskan agar kita semua dapat melihat Rabu sebagai tipu.

Wamakaru wa makarullah. Ayat ini mula saya dengar dari zaman Reformasi dahulu. Ayat ini dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu ertinya kita boleh merancang tapi Allah ada perancangan yang lebih baik.

Kebelakangan ini saya selalu mendengar Presiden AMANAH Saudara Mat Sabu mengeluarkan ayat ini. Mat Sabu sosok hebat dalam penyampaian ceramahnya telah memberikan penerangan yang amat jelas tentang suasana politik hari ini berasaskan wamakaru wa makarullah.

Untuk memahami semua ini mari kita lihat tim dalaman - inner circle - yang menyokong dan bekerja untuk Najib dan Rosmah. Tim Najib pasti ada pelbagai jenis. Mereka berkumpul bukan kerana nusa dan bangsa. Bukan kerana ada niat hendak berjuang untuk Melayu. Bukan. Bukan. Tidak.

Tim Najib ini tahu dan sedar Najib ini dituduh pencuri. Malah mereka tahu Najib ini sedang dituduh menggadaikan Tanah Melayu kepada China Merah. Mereka juga tahu yang Jho Low dituduh agen China Merah yang menyediakan suasana untuk Najib berhutang dari China Merah.

Fakta menunjukkan tim Najib ini bukan tak sekolah. Mereka bukan tidak belajar. Mereka ada otak. Mereka terikat dan bernaung dan menyokong Najib kerana Najib ada kuasa. Ada kuasa ertinya ada fulus. Kuasa, ringgit dan dolar mengikat.

Kebenaran, kejujuran dan keadilan mungkin bukan garis hidup mereka. Kuasa, ringgit dan dolar menjadi tali simpai yang kuat mengikat sesama mereka. Mereka bergelumang dalam ringgit dan dolar. Inilah berasaskan falsafah Najib - cash is king - duit adalah raja.

Tak percaya apa yang saya tulis ini?

Sila tunggu dan lihat apabila FBI atau CIA berjaya menangkap Najib. Semua penyokong dan tim Najib dari para pemikir ‘war room hingga ke pemikir bath room’ akan bertempiaran lari. Malah saya tidak hairan akan ada yang akan menukar kulit dan mengeriting rambut untuk menjadi Negro lari ke Afrika agar selamat.

Babak bertempiaran lari ini pernah berlaku di Jakarta, di Manila, di Kaherah dan di Tehran. Malah ketika saya menulis ini, mungkin ramai tidak mengetahui, ada seorang mamat Syria bernama Hassan al-Kontar yang telah tersangkut di KLIA lebih dari sebulan. Mamat ini lari kerana Bashar telah berjaya menawan kembali Syria.

Umum tahu bahawa kuasa dapat memberi dedak. Dan untuk mereka mendapat dedak cara yang terbaik ialah membodek kuasa. Ramai kaki bodek ini membuat kerja dari jauh. Ini kerana mereka belum dapat diterima untuk mendekati 'war room’ Najib.

Contoh bodek terbaik ialah apabila Pendaftar Pertubuhan mengharamkan Parti Pribumi Bersatu.

 Sekali pandang langkah ini selari dengan harapan Najib agar BERSATU yang dipimpin oleh Mahathir ini akan menjadi huru-hara dan kacau-bilau. Lemah dan gagal dalam PRU14.

Jenis bodek mengharamkan parti BERSATU ini termasuk dalam genre bodek Kelas A1. Pegawai Bodek jenis ini boleh membawa selendang Tan Sri. Dan mungkin dapat hadiah dari Rosmah Mansor.

Tapi wamakaru wa makarullah. Tetiba satu kejutan berlaku. Ada hikmah di belakang kejahatan Najib. Para pemimpin Pakatan Harapan mengambil langkah untuk menggunakan satu logo. Logo BERSATU, logo DAP atau logo AMANAH tidak akan digunakan dalam PRU14. Hanya logo PKR yang akan digunakan.

Ha Ha. Ha. Pembodek Najib dari Jabatan Pendaftaran boleh merancang. Tapi rancangan kamu gagal. Kah, kah, kah.

Sabar dulu bukan semuanya begini.

Tidakkah pembaca terfikir bahawa langkah mengharamkan parti BERSATU ini adalah satu rancangan gelap. Rancangan yang diatur oleh satu kumpulan kecil. Kumpulan ini bermuka-muka menyokong Najib. Walhal dari dalam mereka membuat kerja sabotaj.

Kumpulan ini sengaja mengambil langkah mengharamkan BERSATU. Tujuannya ialah untuk menaikkan kemarahan rakyat. Mengapi-apikan rakyat. Membakar dan menaikkan kebencian rakyat terhadap Najib dan Rosmah.

Bijak. Langkah mengharamkan BERSATU ini akan menjadikan rakyat melihat dakwaan penipuan dan kejahatan Najib dengan lebih jelas. Hasil dari pengharaman BERSATU muncul satu logo. Syabas untuk tim ini yang sedang bekerja di bawah tanah. Amin.

Tetiba datang Rabu. Ini satu lagi penipuan yang dirancang. Kaki bodek dalam SPR dalam usaha membodek Najib telah menetapkan Rabu sebagai hari mengundi.

Penipuan ini amat senang difahami. Rabu bertujuan agar jumlah pengundi datang mengundi akan kurang. Rabu ini membawa niat jahat. Ini bukti niat jahat Najib menipu untuk menang. Inilah yang difatwakan oleh The Economist.

Sabar dulu. Wamakaru wa makarullah. Sama seperti mengharamkan BERSATU, menjadikan Rabu hari mengundi ini juga dilihat sebagai satu sabotaj kepada Najib. Seolah-olah ada tim ‘bawah tanah’ dalam SPR yang berfikir untuk memastikan rakyat makin benci dan makin menyampah kepada Najib dan Rosmah.

Memilih hari Rabu ini betul betul menaikkan kemarahan rakyat. Bukan sahaja rakyat marah malah ada yang akan mengambil cuti satu minggu untuk memastikan Najib tak sempat lari ke Kazakhstan sesudah Rabu.

Ombak kemarahan rakyat ini tidak dapat dibendung. Dalam media sosial Najib mendapat sumpah seranah yang tidak terampun. Carutan dan makian semuanya ditujukan kepada Najib dan Rosmah.

Tidak dapat tidak Rabu menjadi hari cuti umum. Ini sah bukti sahih bahawa rakyat marah. Sah dan sahih rakyat sedar Najib menipu. Rabu jadi hari cuti kerana Rabu adalah tipu.

Tipu. Tipu. Tipu. Dr Mahathir, Dr Wan Azizah dan Mat Sabu dalam semua ucapan dan ceramah mereka telah menerangkan bahawa Najib telah, sedang dan akan terus menipu untuk menang.

Persempadan semula, Fatimah Ismail, 70 orang dalam satu rumah - ini hanyalah contoh-contoh yang diketahui umum. Malah saya telah menulis perkara ini.

Hakikatnya ombak rakyat menyokong Pakatan Harapan semakin ampuh. Makin banyak ‘malaun’ keluar parti BERSATU, maknanya makin kuat sokongan rakyat. Makin banyak kutukan terhadap pemimpin Pakatan bermakna ombak rakyat untuk Pakatan semakin menggelombang.

Para pembaca, para penyokong Pakatan Harapan, ahli Parti DAP, ahli PKR, ahli BERSATU, ahli AMANAH dan anak-anak muda, kita semua wajib bersedia.

Bersedia untuk apa?

Biar saya terangkan di sini. Kita telah berjuang. Kita telah mengharung ombak dan duri. Kita telah dipukul polis. Kita telah dibantai FRU. Kita telah dipenjara. Kita telah berkorban. Ini perjuangan namanya.

Tapi ada satu lagi perkara yang sama pentingnya dengan perjuangan. Tapi ramai gagal mentakrif untuk memahami perkara ini.

Berani berjuang, berani menang.

Berani menang inilah yang masih gagal dihayati. Berjuang untuk menang. Kita wajib memahami bila dan ketika untuk merebut kemenangan. Kemenangan tidak akan datang berguling. Kemenangan hanya lahir hasil perlawanan.

Berani berjuang sahaja tidak cukup. Kita juga wajib berani menang.

PRU13 kita telah menang. Tapi kita gagal merebut kemenangan. PRU14 ini kali kedua kita akan menang. Apakah kita akan ditipu seperti PRU13 sekali lagi? Tunggu minggu hadapan.


* HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tiada ulasan: