Selasa, 24 April 2018

Puad tetap tabah walaupun tidak dicalonkan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tetap tabah walaupun tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Beliau mengeluarkan kenyataan itu, selepas 'kejutan' apabila namanya tidak tersenarai untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat yang pernah ditandinginya pada PRU-13.
 
"Hari ini walaupun tidak dicalonkan semula tetap tabah ke 15 sekolah menyampaikan sumbangan RM6,000 kepada setiap Kelab Bilik Guru (KEBIRU)," katanya menerusi akaun Facebook miliknya dipetik BH Online hari ini.
 
Pada majlis pengumuman calon BN Johor semalam, Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Batu Pahat.
 
Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mendakwa Mohd Puad akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan bakal bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu Pahat kerana tidak dicalonkan oleh BN.
 
Beliau didakwa kecewa dengan sistem pemilihan calon yang digunakan Umno, selain dikatakan pernah menjadi mangsa fitnah dalaman parti menyebabkannya tidak dicalonkan semasa pilihan raya pada 1999 dan 2004.
 
Mohd Puad pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas berjaya menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,968 undi pada 2008 ketika PRU-12.
 
Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi itu semasa PRU-13 selepas tewas pada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi yang memperoleh 38,563 undi, dengan majoriti 1,524 undi.
 
 
 

Tiada ulasan: