Rabu, 11 April 2018

PRU14: Senarai calon MIC sudah ‘beres’? siapakah mereka?

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai senarai calon parti MIC yang selama ini dikatakan kelam-kabut untuk dipastikan dan disahkan dilaporkan sudah mendapat satu kata pemutus.

Sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Times ( TMT) bahawa Presidennya Datuk Seri Dr S. Subamaniam dikatakan sudah mendapat persetujuaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN dalam sessi pertemuannya dengan beliau semalam.

Daripada laporan dan sumber yang diterima, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan akan mempertahankan kerusi Parlimen Segamat untuk penggal ketiga berturut-turut.

Manakala Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Datuk Seri M. Saravanan pula sekali lagi akan bertanding di Parlimen Tapah untuk penggal ketiga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk. P. Kamalanathan dijangka sekali lagi akan diturunkan di Parlimen Hulu Selangor walaupun dilaporkan wujud pelbagai tentangan daripada beberapa kumpulan termasuk daripada sebuah parti politik komponen BN.

Di Parlimen Cameron Highlands, parti dikatakan telah mencadangkan nama Ketua Pemudanya Datuk C.Sivarraajh yang tewas di di DUN Bentong pada pilihan raya umum ke-13 lepas.

Persoalannya apakah nasib kerusi tersebut? milik MIC atau MyPPP?

Manakala di Parlimen Sungai Siput pula, nama Timbalan Presiden parti Datuk Seri S.K . Devamany dikatakan ‘mendahului’ untuk membawa cabaran MIC dalam misi merampas kembali kawasan tersebut yang satu ketika dulu menjadi kubu kuat bekas Presiden Tun S. Samy Vellu.

Di Kapar pula, nama Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy menjadi pilihan di mana beliau dikatakan sudahpun mengerakkan jenterenya di kawasan tersebut.

Sumber parti berkata, Mohana seharusnya bertanding di Parlimen Kota Raja di PRU ke-13 lepas namun atas sebab-sebab tertentu namanya terkeluar di saat-saat terakhir.

Malah pada tahun lepas beliau diarahkan oleh kepimpinan parti untuk berkerja di Parlimen Cameron Highlands, namun selepas beliau menjalankan beberapa aktiviti secara agresif di sana, kepimpinan parti dikatakan ‘menarik keluar’ beliau dari sana.

Persoalannya berapa ramai calon wanita akan diturunkan di PRU ke- 14 nanti selain Mohana?

Pada PRU ke 13 lepas, hanya seorang sahaja calon wanita dicalonkan di DUN Port Dickson namun tewas.

Untuk Parlimen Teluk Kemang yang kini telah ditukar nama kepada Parlimen Port Dickson selepas proses persempadanan semula, MIC sekali dikatakan menaruh kepercayaan kepada Ketua Peneranganya Datuk V.S. Mogan yang tewas dengan majoriti nipis di PRU ke – 13 di Parlimen yang sama.

Untuk Parlimen Kota Raja , menurut sumber parti telah mencadangkan nama Ketua Pemuda MIC negeri Selangor, D. Kajendran.

Manakala di Subang yang kini telah ditukar nama kepada Parlimen Sungai Buloh difahamkan nama Ketua Putera parti itu Uvaraja Maniam menjadi pilihan. Uvaraja juga merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Kamalanathan.

Namun menurut sumber itu lagi, mungkin ada ‘kejutan’ terakhir di Parlimen yang dikategorikan kritikal khususnya di Sungai Siput, Hulu Selangor, Sungai Buloh dan Cameron Highlands.




AMARAN PRESIDEN
 
Semalam, Dr Subramaniam menggesa pemimpin dan anggota parti itu berhenti mengeluarkan kenyataan media meminta kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 ini.

Beliau berkata MIC hanya akan mencalonkan mereka yang berpeluang tinggi untuk menang pada pilihan raya itu dan penilaian boleh menang tersebut akan dibuat menggunakan beberapa kaedah termasuk maklum balas akar umbi, pusat penilaian, maklum balas pusat operasi Barisan Nasional (BN) dan lain-lain.

Calon yang peluang menangnya rendah mungkin akan digantikan dengan mereka yang mempunyai peluang lebih baik, katanya dalam kenyataan, di sini.

“Matlamat parti pada akhirnya ialah untuk menang sebanyak mungkin kerusi.”

“Saya harap calon berpotensi dan pemimpin sedar akan perkara ini. Walaupun setiap individu itu penting, parti jauh lebih penting. Bagi memastikan perjuangan politik MIC berterusan, amat penting untuk ia mencatat keputusan baik pada pilihan raya ini,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa mereka yang mencabar keputusan kepimpinan parti berhubung calon akan berdepan tindakan tegas.

“Sebarang cubaan untuk untuk mensabotaj kempen pilihan raya oleh anggota parti akan ditangani dengan tegas. Dewan Tertinggi BN telah memutuskan parti komponen harus memecat atau menggantung keanggotaan mereka yang berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramanian mengakui bukan mudah untuk menguruskan pilihan raya dan ketika berdepan dengan ‘peperangan’, kesediaan untuk bekerjasama dan perpaduan dalam kalangan anggota parti amat penting.

“Jika kita bersatu dan menggembleng sumber kita, kita boleh mencapai kejayaan cemerlang. Bersedialah untuk satu ‘pertempuran’ yang hebat,”

Tiada ulasan: