Khamis, 26 April 2018

PRU14: PPBM tanding 10 DUN, tiga parlimen di Terengganu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
Pakatan Harapan (PH) mengesahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada pilihan raya umum, 9 Mei ini.
 
Pengumuman calon bagi 10 daripada 32 kerusi DUN dan tiga daripada lapan kerusi Parlimen dilakukan oleh Pengerusi PH negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.
 
Melalui pembahagian kerusi yang diputuskan, Amanah akan bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 Parlimen manakala PKR (11 DUN, 2 Parlimen) dan PPBM (10 DUN, 3 Parlimen).
 
PRU14 bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurang tiga penjuru bagi kesemua kerusi DUN dan Parlimen.
 
Hadir sama dalam Majlis Pengisytiharaan Calon PH Terengganu bagi PRU14 di Kuala Terengganu, hari ini Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail dan Pengerusi PPBM negeri, Datuk Razali Idris.
 
Sementara itu, Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris dalam sidang media selepas majlis pengumuman calon parti itu berkata terdapat pemimpin BN di Terengganu memberi sokongan dan bantuan secara senyap kepada gabungan pakatan pembangkang itu kerana kecewa tidak diangkat menjadi calon.
 
Sokongan yang diterima PH termasuklah dari segi bantuan kewangan bagi membantu calon menentang BN.
 
“Sekarang ini lagi banyak apabila nama calon BN diumumkan kami mendapat sokongan yang kuat daripada pemimpin BN yang tidak terpilih yang merasakkan mereka lebih layak diangkat sebagai calon, sekarang ini menyokong kita.
 
“Sekarang musuh kita Umno ialah sahabat kita, untuk nak lawan BN kita mesti bersahabat dari musuh-musuh kita,” katanya dipetik Malaysiakini.
 
Gelombang kekecewaan yang berlaku dalam Barisan Nasional bukan sahaja berlaku di Terengganu tapi seluruh Malaysia sehingga ada yang umum keluar parti.
 
Terbaru Tan Sri M Kayveas mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP), Pengerusi myPPP Wilayah Persekutuan dan penasihat myPPP Perak.
 
Selain Kayveas, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan sekali gus menjawab spekulasi yang bermain di media sosial beberapa hari ini setelah namanya digugurkan daripada senarai calon BN yang bertanding di Johor dalam PRU14 kali ini.
 
Menerusi pengumuman calon Pakatan Harapan Terengganu, PPBM hari ini secara rasmi mengumumam calon lengkap mereka selepas Amanah dan PKR melakukannya semalam.
 
Senarai calon PPBM
 
Berikut adalah senarai nama calon PPBM bagi Parlimen dan DUN di Terengganu:
 
Hulu Terenganu- Datuk Razali Idris
 
Besut- Datuk Wan Nazari Wan Yusof
 
Setiu-Datuk Faudzi Musa
 
Kuala Besut-Che Ku Hashim Che Ku Mat
 
Hulu Besut-Ismail Abdul Kadir
 
Tepuh-Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan
 
Ladang-Datuk Zulkifli Mohamad
 
Pengkalan Berangan-Aidi Ahmad
 
Ajil-Zamani Mamat
Bukit Besi-Mohamad Arif Arifin
 
Kijal-Datuk Wan Marzuki Wan Sembok
 
Batu Rakit-Amir Long
 
Langkap-Mustaffa Abdullah
 
 

Tiada ulasan: