Rabu, 18 April 2018

PR1MA bina 957 unit rumah di Teluk Intan

Abd Razak Mohd Ali, Astro Awani
PR1MA bina 957 unit rumah di Teluk Intan
Najib mendengar penerangan mengenai Projek PR1MA dari Abdul Mutalib (kiri) semasa melihat replika struktur rumah PR1MA pada Majlis Perasmian Projek Pecah Tanah PR1MA Teluk Intan hari ini. --fotoBERNAMA
 
 
TELUK INTAN: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan membina 957 unit rumah mampu milik di Teluk Intan dengan nilai pembangunan kasar RM232 juta.

Projek yang terletak bersebelahan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Changkat Jong itu dijangka siap menjelang tahun 2020.

Fasa pertama melibatkan 523 unit adalah rumah teres satu tingkat berharga RM180,000 manakala bakinya rumah teres dua tingkat berharga kurang daripada RM250,000.

Majlis pecah tanah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tapak projek di sini, pagi ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan barisan Exco kerajaan negeri Perak.

Menurut Abdul Mutalib, sebanyak 6,000 pemohon rumah PR1MA Teluk Intan telah mendaftar secara dalam talian di mana 2,000 daripadanya mendaftar sebagai pilihan pertama.

Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak 20,148 unit rumah PR1MA diluluskan di Perak seperti di Bandar Meru Raya, Sungai Raia, Tapah, Kamunting, Kampung Paloh dan Kampar.

Katanya, daripada jumlah itu, 4,350 unit telah siap manakala 8,071 unit masih di dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Rumah-rumah mampu milik PR1MA adalah bagi memenuhi permintaan golongan M40.

Individu atau keluarga dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 dan RM15,000 layak untuk memohon kediaman PR1MA.

Sementara itu, Mah berkata, projek PR1MA Teluk Intan yang dituruti dengan beberapa projek lain, akan melonjak pembangunan Teluk Intan, sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Beliau turut berharap kerajaan dapat membina lebih banyak rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), sebuah stadium dan Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di Teluk Intan.

Tiada ulasan: