Jumaat, 13 April 2018

PPBM umum senarai calon Ahad ini

 
Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata 95% calon sudah dimuktamadkan dan hanya beberapa kerusi di Selangor.
 
 



MUAR: PPBM akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Ahad ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden PPBM itu berkata, hampir 95% calonnya sudah dimuktamadkan.

“Ada beberapa kerusi di Selangor yang kami belum putuskan lagi, tetapi kami akan selesaikannya dalam minggu ini juga,” katanya pada sidang media di pejabat parti itu di Pagoh, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman calon ditangguhkan kerana ada beberapa kerusi dengan terlalu ramai calon berpotensi dan sesetengah kerusi pula nampaknya tiada calon sesuai.

“Kami rasa Ahad ini (15 April) adalah baik kerana ia akan memberi masa secukupnya kepada calon melihat landskap kerusi mereka dan turun padang menemui pengundi sebelum hari mengundi.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari mengundi, keputusan yang menimbulkan kontroversi kerana Rabu terletak di pertengahan minggu.

Sehingga kini, PPBM hanya mengumumkan Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Abdul Rahman akan bertanding di kerusi Parlimen Muar.

Pembubaran sementara PPBM

Sidang media hari ini bertujuan mengumumkan tindakan PPBM memfailkan semakan kehakiman ke-2 terhadap arahan pembubaran sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 5 April lalu.

JPPM berkata, PPBM dibubarkan sementara selama 30 hari kerana gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan parti itu setelah diarah berbuat demikian pada 28 Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Minggu lalu, PPBM memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah untuk membatalkan arahan JPPM berhubung pembubaran sementara parti itu.

Parti itu juga mahu mahkamah menyekat JPPM mengambil tindakan menyalahi undang-undang bagi menghalang PPBM menjadi parti politik sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu menolak permohonan semakan kehakiman PPBM bagi mencabar keputusan JPPM.

Hakim, Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan kebenaran difailkan parti itu atas alasan arahan pembubaran sementara yang dibuat JPPM di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, bersifat akademik.

Hari ini, Muhyiddin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan dihukum atas tindakan JPPM itu.

“Ia menimbulkan kemarahan rakyat yang percaya kepada keadilan dan demokrasi. Mereka boleh menipu dan cuba mengurangkan pengaruh kita, tetapi mereka akan dihukum,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

 LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: