Khamis, 5 April 2018

Pos Malaysia jamin tiada penipuan undi pos

Wartawan MalaysiaGazette
 
 
KUALA LUMPUR – Pos Malaysia memberi jaminan akan menguruskan undi pos di dalam dan luar negara dengan telus pada PRU-14.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Postal dan Kurier Pos Malaysia, Datuk Azlan Shahrim berkata, pihaknya sedia memberi jaminan perkhidmatan terbaik bagi memastikan undi berharga rakyat dapat disampaikan kepada Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri-negeri.

Katanya, ia secara langsung menepis dakwaan bahawa agensi berkenaan bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas berkhidmat kepada orang ramai.

“Ini (undi pos) bukan kali pertama diuruskan Pos Malaysia, kita sudah banyak pengalaman dan terbabit menguruskan undi pos pada PRU-13 dan PRK lain.

“(Jadi) tidak timbul isu gagal dalam menjalankan perkhidmatan. Tugas Pos Malaysia adalah menghantar dan menerima kembali undi pos untuk diserahkan kepada SPR dengan selamat,” katanya hari ini.

Sementara itu, Nor Azizan menegaskan, Pos Malaysia bekerjasama rapat dengan SPR untuk memastikan kelancaran pada hari pengundian termasuk untuk melanjutkan waktu perkhidmatan Pos Malaysia sekiranya hari mengundi jatuh pada hari minggu atau cuti umum.

Ketika ditanya dakwaan pengundi pos menjadikan peti surat sebagai peti undi dan bukannya hantar surat undi pos sehingga menyebabkan kertas undi tidak sampai pada PRU-13, Nor Azizan berkata pengundi perlu mengikut prosedur lengkap ditetapkan SPR .

“Kami hanya hantar dan poskan kembali undi. Kandungan dalam surat tidak boleh dibuka, pengundi kena pastikan mereka menggunakan sampul surat yang diberikan SPR untuk mengelakkan undi mereka ‘tercicir’,” katanya.

Sementara itu, jumlah pengundi pos dijangka meningkat sekali ganda pada PRU-14 susulan kerajaan memberi kelonggaran kepada sembilan jabatan serta agensi yang layak mengundi pos.

Mereka adalah pengundi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara;

Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja);

Sukarelawan Polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara (yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar sahaja).-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: