Jumaat, 27 April 2018

Polis nasihat penyokong parti patuh arahan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Polis tidak akan menutup laluan ke Putrajaya kecuali sekitar 50 meter di kawasan sekeliling pusat penamaan calon yang berlangsung esok di Dewan Serbaguna Presint 9.
 
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, penutupan laluan itu adalah untuk memberi laluan kepada penyokong parti politik untuk berarak semasa proses penamaan calon.
 
"Saya percaya penyokong dari tiga parti politik yang bertanding di Putrajaya sudah matang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan mereka akan berarak dan memberi sokongan kepada calon pilihan secara berhemah.
 
"Penyokong parti politik berkenaan akan bergerak secara berkumpulan dan atas sebab itu kita minta mereka untuk menitik beratkan keselamatan diri ketika berarak.
 
"Kita berharap semua penyokong tidak menimbulkan kekecohan dan mengikut setiap arahan dikeluarkan oleh anggota dan pegawai polis yang bertugas," katanya dipetik NSTP.
 
Ditanya kekuatan anggota yang akan bertugas esok, beliau berkata tiada jumlah sebenar kekuatan anggota dan pegawai yang akan menjaga di pusat berkenaan.
 
"Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ada menyatakan jumlah anggota dan pegawai yang akan bertugas semasa penamaan calon, dan jumlah itu termasukPutrajaya.
 
"Dari segi pecahan anggota dan pegawai di Putrajaya sukar untuk diberikan, kerana kita turut mendapat kerjasama dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kotinjen), tetapi polis Putrajaya akan siap sedia bermula jam 6 pagi sehingga tamat penamaan calon," katanya.
 
Semalam, Mazlan berkata, sebanyak 2,693 pegawai dan anggota polis akan bertugas semasa Hari Penamaan Calon.
 
Daripada jumlah berkenaan,361 terdiri daripada pegawai, 2,303 anggota dan 29 kakitangan awam yang akan mengawal di enam daerah iaitu Sentul, Wangsa Maju, Brickfields, Dang Wangi, Cheras serta Putrajaya.
 
Setakat ini, kerusi Parlimen Putrajaya dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang yang juga Setiausaha Agung BN dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan calon gabungan pembangkang PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat dan calon PAS, Zainal Abidin Kidam.
 
 

Tiada ulasan: