Selasa, 17 April 2018

PKR: Umno bercakaran kerana sepanduk dicetak di China?

 
Fahmi Fadzil berkata sepanduk BN dipotong di bahagian bawah yang tertera nama syarikat pencetak di China.





PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Umno Lembah Pantai memotong bahagian bawah sepanduk BN di kawasan Parlimen itu kerana tertera maklumat menunjukkan ia dicetak oleh syarikat di China.

Fahmi mahukan penjelasan daripada Ketua Umno Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tentang perkata ini, dan berspekulasi ada percakaran dalaman tentang isu sepanduk.

“Adakah ini bermakna ada kalangan ahli Umno di Lembah Pantai tidak gembira kerana kerja mencetak sepanduk-sepanduk ini diberi kepada syarikat yang didaftarkan di negara asing dan bukan orang tempatan,” katanya.

Menurut Fahmi, ada kira-kira 20-30 sepanduk di Kampung Abdullah Hukum, berdekatan Mid Valley Megamall di ibu negara, yang bahagian bawahnya dipotong.

Fahmi dijangka akan bertanding di Lembah Pantai, di mana dia akan berdepan Raja Nong Chik, yang tewas pada pilihan raya 2013 di tangan penyandang, Nurul Izzah Anwar.

PAS juga dijangka akan memaksakan pertandingan 3 penjuru di kerusi itu.

FMT sedang mendapatkan respons Raja Nong Chik.

Tiada ulasan: