Selasa, 17 April 2018

PKR mahu kekalkan legasi keluarga Anwar di Permatang Pauh

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR Nurul Izzah ditempatkan di kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai percaturan parti reformasi itu untuk mengekalkan legasi kekeluargaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Ketua Umno Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, ini kerana Presiden PKR yang juga penyandang kerusi itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sudah menjangkakan bahawa beliau akan kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini. 
 
"Langkah untuk turunkan Izzah ini adalah langkah untuk selamatkan Presiden PKR daripada kemungkinan besar kalah di Permatang Pauh. Nurul ini menjadi mangsa kepada percaturan PKR, mereka juga sedar kalau mereka tidak letakkan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim kemungkinan besar mereka akan kalah dengan lebih mudah lagi. 
 
"Secara peribadinya saya tidak melihat kerusi Permatang Pauh ini merupakan pilihan utama Nurul Izzah jika beliau diberi peluang. Mungkin beliau juga dalam keadaan tersepit untuk kekalkan legasi Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, atau mungkin terpaksa bertanding di situ. Walaupun beliau sedar peluang beliau agak sukar," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Mohd Zaidi mengulas berkenaan pencalonan Nurul Izzah, yang juga merupakan penyandang kerusi Lembah Pantai selama dua penggal bakal diturunkan 'bertempur' di kerusi Permatang Pauh pada PRU14 ini. 
 
Ia dimaklumkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution hari ini. 
 
Nurul Izzah menggantikan Wan Azizah yang difahamkan akan bertanding salah sebuah kerusi di Pandan, menggantikan kekosongan Naib Presidennya Rafizi Ramli yang digugurkan hak untuk bertanding pada PRU14 ini.
 
Malah Mohd Zaidi berkata, Nurul Izzah yang diletakkan bertanding di kerusi tradisi Anwar yang sekian lama disandang Wan Azizah jelas memperlihatkan mereka mensasarkan kerusi selamat untuk ditandingi. 
 
"Kalau dia tahu dia akan kalah di Lembah Pantai, ini maknanya Wan Azizah sudah tahu dia akan kalah di Permatang Pauh sebab itu dia lari keluar dari Permatang Pauh. Bagi saya, keluarga Datuk Anwar Ibrahim ini mereka cuba mencari kawasan yang selamat untuk mereka," ujarnya.
 
Beri kelebihan kepada BN 
 
Jika kerusi Permatang Pauh selamat sudah pasti Wan Azizah akan terus mempertahankan kerusi itu yang sudah sinonim dengannya sejak PRU 1999 atas kapasitinya sebagai Presiden parti, katanya. 
 
Dalam pada itu, Mohd Zaidi juga tidak menolak keputusan PKR mempertaruhkan Nurul Izzah bakal memberi kelebihan kepada Umno-Barisan Nasional (BN), memandang sudah kehilangan sokongan PAS yang tidak bersama dalam Pakatan Harapan (PH) kali ini. 
 
"Saya percaya pengundi PAS yang selama ini mengundi PKR sudah pasti akan kembali kepada PAS apabila parti itu bertanding. Saya tidak nampak yang penyokong BN akan beralih kepada PAS. Ini secara langsung kalau kita boleh kekalkan undi sebelum ini sedikit tambahan kita ada peluang untuk tandingi PKR pada PRU14," tambahnya.
 
Tekad merampas kerusi yang terlepas ke tangan Anwar pada 1982, PAS baru-baru ini mengumumkan Ketua Pemuda Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden, anak kepada bekas imam besar Masjid Negara Datuk Taib Azamudden Mohd Taib sebagai pencabar untuk kerusi Permatang Pauh. 
 
Legasi Anwar di Parlimen Permatang Pauh kekal kuat milik PKR untuk tiga kali PRU dan juga pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2015. Anwar memenangi kerusi itu sejak 1982 menerusi tiket Barisan Nasional (BN).
 
Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudiannya bertanding pada 1999 dan menang kerusi itu selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara. Azizah juga berjaya pertahankan kerusi itu pada PRU 2004 dan 2008.
 
Anwar kembali bertanding dan berjaya memenangi kerusi itu PRU 2013, namun beliau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Azizah kembali menyandang kerusi tersebut sehingga kini.
 
 

Tiada ulasan: