Ahad, 8 April 2018

PH tak perlu kebenaran SPR guna logo PKR

 
Pengerusi SPR, Hashim Abdullah berkata, jika PH memutuskan untuk bertanding atas tiket PKR, maka simbol DAP, Amanah dan PPBM tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen sepanjang PRU14.


Gambar Twitter


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, calon Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan kebenaran suruhanjaya itu untuk menggunakan logo PKR, tetapi mereka hanya boleh menggunakan simbol parti itu ketika berkempen, jika memutuskan untuk bertanding atas tiket PKR.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan malam tadi menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam laporan media mengatakan PH memerlukan kebenaran SPR untuk menggunakan logo PKR seperti diputuskan gabungan 4 parti pembangkang itu.

Beliau berkata, jika PH memutuskan untuk bertanding atas tiket PKR, maka simbol parti lain, iaitu DAP, Amanah dan PPBM tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen sepanjang pilihan raya umum ke-14.

“Kenyataan SPR telah disalah erti seolah-olah keputusan untuk penggunaan lambang PKR oleh ahli parti lain untuk tujuan pilihan raya mesti mendapat kebenaran daripada SPR.

“Ingin ditegaskan kebenaran untuk menggunakan simbol PKR oleh calon yang ingin bertanding atas tiket parti itu adalah di bawah bidang kuasa parti itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, status pendaftaran atau simbol PH yang tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) serta lambang yang masih belum berdaftar dengan SPR, tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen PRU14.

Tiada ulasan: