Rabu, 18 April 2018

Penduduk Baling dapat hospital pakar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BALING: Penduduk daerah ini tidak perlu lagi berulang-alik ke hospital di Sungai Petani, Alor Setar atau Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan doktor pakar, pada 2021.
 
Ini berikutan sebuah hospital pakar baharu akan dibangunkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majlis pecah tanah di tapak seluas 1.6 hektar disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, semalam.
 
Kebanyakan penduduk yang ditemui NSTP, gembira kerana yakin, dengan terbinanya hospital pakar bernilai RM108 juta itu kelak, mereka akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
 
Ketika ini, kes yang tidak dapat diselesaikan di Hospital Baling terpaksa dirujuk ke hospital di Sungai Petani dan Alor Setar, sehingga ke Pulau Pinang berikutan kekurangan tenaga perubatan pakar.
 
Seorang penduduk, Abd Aziz Omar, 61, dari Kampung Bawah Gunung, berkata penduduk Baling sudah lama mengharap untuk mendapat sebuah hospital pakar.
 
Katanya, ini kerana jarak bagi mendapatkan rawatan di Sungai Petani dan Alor Setar, agak jauh dan mengambil masa perjalanan yang lama.
 
"Saya gembira apabila kerajaan meluluskan pembinaan hospital pakar di daerah ini.
 
"Keputusan ini membuktikan kerajaan prihatin dengan masalah dihadapi penduduk luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik," katanya.
 
Penjawat awam, Badrul Hisham Che Li, 46, pula berkata dengan adanya hospital itu kelak, ia dapat memberi manfaat kepada penduduk di daerah lain yang tinggal berhampiran Baling seperti Sik, Pengkalan Hulu dan Gerik.
 
"Ini jelas membuktikan kerajaan prihatin permasalahan penduduk dalam keperluan perkhidmatan kesihatan," katanya.
 
Hospital itu yang dijangka siap pada Mei 2021 akan memberi kemudahan kepada lebih 200,000 penduduk di daerah ini.
 
 

Tiada ulasan: