KOTA BHARU: Pembangkang terutama Amanah hanya mahu menjadikan anak
kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, sebagai umpan pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Amanah gagal
menarik perhatian pengundi di Kelantan justeru terpaksa menggunakan
identiti Nik Omar bagi membolehkan nama partinya disebut-sebut.
"Nik Omar adalah peluang PAN (Amanah) menjadikan parti itu menarik
perhatian ramai dan anak bekas Menteri Besar Kelantan itu hanya
dijadikan umpan.
"Pada masa sama, itu menunjukkan PAN (Amanah) tiada kekuatan walaupun
terdapat bekas exco atau Naib Presiden PAS dalam parti berkenaan. Mereka
tidak yakin dengan barisan kepemimpinan yang ada," katanya pada sidang
media selepas Majlis Pecah Tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak
An-Nisa' di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz
Nik Mat yang berusia 53 tahun itu berkata, beliau tidak akan bertanding
sebagai calon Amanah seperti heboh diperkatakan kerana tidak mendapat
restu daripada ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Nik Omar berkata, ibunya meminta beliau tidak terbabit dalam
pertandingan sama ada di bawah Amanah atau menjadi calon kepada
mana-mana parti.
Bagaimanapun, pakatan pembangkang yakin Nik Omar tetap bersama mereka dalam masa terdekat sebelum tiba hari penamaan calon.
Malah, pimpinan Amanah juga dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Nik Omar bagi membincangkan perkara berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan