Khamis, 19 April 2018

Paya Jaras milik PKR, Amanah melepas lagi

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah sekali lagi berputih mata apabila kerusi DUN Paya Jaras yang hampir menjadi miliknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terlepas ke tangan PKR.
 
Perkara itu disahkan ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Khairuddin bagaimanapun berkata calon yang akan mewakili kerusi itu belum dimuktamadkan dan akan diumumkan Pakatan Harapan (PH) Selangor dalam masa terdekat.
 
"Setakat ni calon kita tak tahu lagi. Yang dipahamkan perundingan di peringkat pusat dan negeri hanya selesai bahagian kerusi (sahaja).
 
"Telah diputuskan bahawa kerusi Paya Jaras telah diberikan kepada PKR," katanya.
 
Khairuddin sebelum ini disebut-sebut sebagai calon kerusi DUN Paya Jaras selepas beliau bertindak keluar daripada PAS dan menyertai PKR, selepas Parlimen dibubarkan 7 April lalu.
 
Bekas Setiausaha PAS Selangor itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PKR berhubung perkara itu.
 
"Jadi isu calon, saya tak boleh nak komen dan cuma tunggu pengisytiharan dari kepimpinan parti," ujarnya.
 
Khairuddin berkata Amanah tentunya berkecil hati dengan keputusan itu namun beliau yakin parti itu berjiwa besar dan lebih mementingkan kemenangan PH di kerusi berkenaan.
 
"Bila kerusi bertukar ganti, pasti ada rasa terkilan. Saya yakin sebab tumpuan kita adalah atas nama PH. InsyaAllah keadaan di sini (Paya Jaras) masih baik.
 
"Kita sudah bertemu dengan wakil parti Amanah. Saya juga beri komitmen untuk membantu dan berkempen bersama Amanah jika parti itu bertanding di tempat lain. Kita sudah mula berhubung antara satu sama lain dan harap tiada isu besar bakal berlaku," tambahnya.
 
Kerusi DUN Paya Jaras dijangka bakal menyaksikan pertembungan tiga kerusi pada pilihan raya akan datang di antara PH, PAS dan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Pada PRU13 Khairuddin merampas kerusi Dun Paya Jaras daripada penyandang yang merupakan calon BN, Datuk Ir Muhamad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522 undi.
 
Khairuddin sebelum itu enggan mengulas lanjut berkenaan perletakan jawatan Pengarah Biro Pilihan Raya Amanah Selangor, Jaafar Samsuddin seraya menyifatkan Jaafar mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian.
 
Amanah terdahulu mengumumkan Mariam Abdul Rashid sebagai calon yang akan berentap dengan PAS dan Umno BN pada 9 Mei depan.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengesahkan agihan kerusi Pakatan Harapan di Selangor bagi menghadapi telah pun selesai.
 
Pengumuman calon bagi PH Selangor bakal diumumkan pada 25 April depan

Tiada ulasan: