Isnin, 16 April 2018

PAS sedia saman Dato' Mahfuz

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

 
 
KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu bukan sahaja menafikan tuduhan fitnah parti itu ada menerima wang daripada Umno, bahkan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat menegaskan, parti itu bersedia menyaman Naib Presiden PAN, Dato' Mahfuz Omar.
 
Ini kerana katanya, pemimpin PAN itu membuat tuduhan fitnah terhadap PAS Terengganu dengan berniat jahat.
 
"Saya ingin memaklumkan sejelas-jelasnya bahawa PAS Negeri Terengganu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah yang mengatakan PAS Terengganu mendapat wang daripada pihak Umno. Itu merupakan satu tuduhan, satu fitnah palsu yang dibuat terhadap PAS Terengganu.
 
"Kita mendesak orang yang mendakwa PAS Terengganu mengambil wang daripada Umno supaya membuat 'report' Polis. Jika sekiranya pada pandangan mereka ada unsur rasuah, sila buat (laporan) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Kita telah beri masa yang lama tetapi tidak ada tindakan itu. Bahkan, mereka meletakkan bebanan bukti itu terhadap orang yang dituduh pula. Ini satu perkara yang tidak wajar," jelasnya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, semalam.
 
Pada 7 April lalu, Ustaz Satiful Bahri antara tiga nama pemimpin PAS Terengganu termasuk Bendahari PAS Terengganu, M.Syukrimun Shamsudin dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dilaporkan menerima wang daripada Umno.
 
Sehubungan itu jelasnya, PAS Terengganu menyerahkan tindakan susulan itu kepada peguam yang juga Ketua Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia Negeri Terengganu, Mohd Zabidi Yusof.
 
Menurutnya, PAS sebuah parti politik yang telah lama terlibat dengan pilihan raya dan pernah memerintah Terengganu dua kali pada tahun 1959 dan 1999.
 
Justeru, kata beliau, dengan jumlah keahlian parti di negeri ini mencecah lebih 100,000 PAS biasa membuat kutipan sumbangan ahlinya.
 
"Kita sudah biasa buat kutipan (sumbangan) untuk parti ini dari dahulu hingga sekarang. PAS memiliki pusat-pusat tarbiah, dewan dan sebagainya. Semuanya itu hasil sumbangan ahli dan orang ramai.
 
"Bahkan, setiap kali pilihan raya. PAS bayar deposit calon, bahan kempen dan banyak lagi. Parti-parti (lain) yang pernah bergabung di negeri Terengganu dahulu pun PAS yang membiayai sumbangan kepada calon-calon itu.
 
"Kita tidak mengharapkan wang Umno sedangkan kita lawan Umno. Ini satu tuduhan yang bodoh jika menuduh PAS ambil duit Umno untuk lawan Umno," tegasnya.
 
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu membuat tuduhan PAS Terengganu menerima wang Umno sebanyak RM1 juta yang dimasukkan ke akaun khas dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac lalu dan RM1.5 juta lagi didepositkan ke akaun Jabatan Pembangunan PAS (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Hadir sama pada sidang media itu, dua pemimpin PAS yang dituduh oleh Dato Mahfuz iaitu M.Syukrimun Shamsudin dan Muhyidin Abdul Rashid serta peguam PAS, Mohd Zabidi Yusof. -HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: