Rabu, 18 April 2018

PAS sedia dedah bukti cubaan hadkan kuasa majlis syura - Takiyuddin [TONTON VIDEO]

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS hari ini menegaskan partinya bersedia untuk mendedahkan bukti yang disimpannya mengenai cubaan beberapa pemimpin Amanah mencantas kuasa Majlis Syura Ulama (MSU), semasa menganggotai parti itu.
 
Malah Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya ada pemimpin Amanah terus mengeluarkan kenyataan bahawa Datuk Seri Hadi Awang berbohong mengenai perkara tersebut, bukti itu akan dikeluarkan.
 
“Kita (PAS) ada bukti, boleh tunjukkan kepada mereka. Kalau mereka mahu mereka boleh buat kenyataan sekali lagi, tak perlu cabar. Buat kenyataan bahawa ia tidak ada (tapi) kami mengesahkan ia ada. Draf tersebut yang memberi cadangan, pihak AJK PAS Pusat boleh memecat (ahli) Majlis Syura Ulama (MSU). Itu yang dicadangkan jawatankuasa ini. 
 
"Sebelum ini dalam MSU dikalangan mereka boleh menggugurkan ahli mereka atas alasan contohnya tak hadir mesyuarat beberapa kali, ahli mereka yang tak aktif,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur hari ini.
 
Tambah Takiyuddin lagi, cadangan ini sengaja dirangka dalam cubaan mengehadkan kuasa Majlis Syura Ulama (MSU) yang selama ini membuat keputusan dalam PAS.
 
“Ia suatu langkah yang cuba untuk kurangkan kuasa MSU, (yang) sebagai badan tertinggi untuk menentukan perjalanan PAS dan membuat keputusan. Jadi dengan cadangan ini, MSU sudah tidak boleh lagi boleh masuk campur.
 
"Jadi Jawatankuasa PAS tidak memasukkan dalam muktamar, selepas 2015 jawatankuasa baru kaji balik dan jumpa cadangan tersebut,” ujar beliau.
 
Menurut Takiyuddin kali terakhir perlembagaan PAS dipinda adalah pada 2011.
 
Abdul Hadi pada Sabtu lalu mendedahkan ada cubaan mengehadkan kuasa MSU oleh pihak tidak bertanggungjawab yang kini memimpin Amanah beberapa tahun lalu bagi memperkukuhkan kerjasama dengan DAP.
 
Menurut beliau, perkara itu diketahui apabila golongan terbabit cuba melakukan pindaan perlembagaan parti melalui sebuah jawatankuasa yang bernaung di bawah Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi (LUHAM) PAS.
 
Menurutnya, kumpulan terbabit cuba membawa usul pindaan perlembagaan berkenaan tetapi usul tersebut ditolak sebelum Muktamar PAS 2015. 
 
 
 

Tiada ulasan: