Khamis, 26 April 2018

PAS Kelantan tak perlu naikkan cukai, kata pemimpin

 
Setiausaha perhubungan PAS Kelantan berkata tidak perlu menaikkan cukai kerana manifesto PAS realistik.


Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: PAS Kelantan tidak perlu menaikan kadar cukai negeri seperti yang didakwa BN Kelantan kerana parti Islam itu tidak menjanjikan bulan dan bintang, kata seorang pemimpin negeri.

“Kita janjikan apa yang realistik. Maknanya kita tak buat perkara di luar daripada kaedah perubahan biasa atau memberikan janji yang luar biasa sehingga tidak dapat dicapai,” kata Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau menjawab kenyataan Ketua BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkata PAS mungkin terpaksa menaikkan kadar cukai di negeri itu jika mahu melaksanakan manifesto pilihan raya yang diancarkan kelmarin.

Manifesto menawarkan 14 perkara termasuk mendaulatkan agama, pembinaan rumah untuk rakyat, meningkatkan kemudahan asas, pemerkasaan sektor pelancongan Islam dan pembangunan belia.

Menurut Mustapa, PAS akan terpaksa menaikkan kadar cukai bagi menampung pelaksanaan manifesto kerana kewangan negeri yang lemah.

Che Abdullah bagaimanapun berkata kerajaan Kelantan pada penggal ini mampu menjana pendapatan dan mencatatkan lebihan tanpa meluluskan kawasan pembalakan baharu pada 2017.

“Jadi kita cukup yakin dengan berkhemahnya kerajaan, penjimatan kerajaan dan sebagainya kita mampu. Kita menjanjikan perkara yang cukup realistik dan manifesto itu menyamai dengan perancangan bajet tahunan,” katanya.

“Saya nak cabar Datuk Seri Mustapa Mohamad ini, projek mana atau program mana yang nak dilaksanakan kerajaan Islam Kelantan yang dia rasa tak boleh dicapai dengan bajet yang ada ini, saya nak cabar dia,” tambahnya.

Tiada ulasan: