Jumaat, 13 April 2018

PAS janji naikkan BR1M RM2,500 jika menang

 
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata janji itu akan ditunaikan jika PAS menang dan beliau dilantik sebagai perdana menteri.




PETALING JAYA: PAS berjanji akan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM2,500 jika parti Islam itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik Sinar Harian berkata, janji itu akan ditunaikan jika PAS berjaya menawan Putrajaya dan beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, beliau pernah mencadangkan kenaikan kadar BR1M kepada RM2,000 sebelum Barisan Nasional (BN) mengumumkan manifesto mereka pada 7 April lalu.

“Kalau perasan, Datuk Seri Najib Razak sejak kebelakangan ini, naikkan jumlah BR1M selepas saya berucap. Sebelum ini saya kata RM2,000, tapi kali ini saya naikkan lagi RM2,500,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan turut membantu rakyat seperti peladang dan penarik beca.

“Sekarang ini kita bayar melalui Ladang Rakyat RM2,400 setahun, lebih tinggi daripada nilai BR1M sekarang.

“Penarik beca juga menerima bantuan RM1,200 setahun, juga melebihi BR1M yang diagung-agungkan sesetengah pihak,” katanya dipetik akhbar itu.

Sabtu lalu, BN ketika mengumumkan manifestonya berjanji akan menaikkan kadar BR1M dan menambah satu lagi kategori penerima skim bantuan tunai itu, jika BN menang PRU14.

Najib dilaporkan berkata, kadar BR1M untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,000, manakala isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah pula akan menerima BR1M berjumlah RM1,500 berbanding RM900 ketika ini.

Katanya, pemberian BR1M untuk orang bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah, akan ditambah RM150 kepada RM600, berbanding RM450 sekarang dan penambahan satu kategori baharu untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang akan mendapat RM700.

Tiada ulasan: