Sabtu, 14 April 2018

Pandikar Amin sedia tanding PRU14

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau bersedia pada bila-bila masa jika dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
"Jika pada PRU-14 ini saya dicalonkan sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), saya menerimanya kerana saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.
 
"Umur saya bukannya terlalu tua, saya baharu 63 tahun jika dibandingkan dengan ketua pembangkang sekarang, yang sudah 90-an. 
 
"Bagaimanapun, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti termasuk kawasan untuk ditandingi," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pertemuan Iranun Nusantara di sini, hari ini.
 
Majlis kali kedua itu yang turut dihadiri masyarakat Iranun dari Indonesia dan Filipina, adalah anjuran Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI).
 
Pandikar Amin yang juga penaung BKI berkata, beliau sedia menerima bertanding di mana saja kawasan kerana itu adalah satu cabaran.
 
"Jika saya dipilih itu adalah satu cabaran dan begitu juga jika sebaliknya. Tiada petunjuk daripada mana-mana pemimpin atasan untuk saya kembali aktif dalam politik kerana sejujurnya saya hanya menyatakan suara hati bahawa saya bersedia sekiranya dipilih.
 
"Saya tidak menjadi calon sejak 2008 iaitu PRU-12...dan itu ok pada saya," katanya sambil menambah telah membayangkan untuk aktif dalam politik sejak tahun lalu ketika siri jelajah Pertubuhan Bumis Sabah Bersatu (USBO).
 
Pandikar Amin yang juga Presiden USBO, menceburi bidang politik pada 1982 dan pernah menjadi Presiden Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR), sebuah parti politik dari Sabah yang telah dibubarkan.
 
Beliau juga menyandang kerusi DUN Tempasuk pada tahun 1994 hingga 1999, dilantik sebagai Senator pada tahun 1999 sehingga tahun 2002 dan bertanding semula di kerusi DUN Tempasuk pada pilihan raya 2004.
 
Beliau bagaimanapun digugurkan daripada bertanding pada pilihan raya umum pada 2008 dengan tempatnya di DUN Tempasuk digantikan Datuk Musbah Jamli sehingga pada PRU-13.
 
 

Tiada ulasan: