Sabtu, 28 April 2018

PAN perguna anak TG Nik Aziz

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

 
 
DI sebalik kegembiraan pemimpin PAN atas kejayaan memujuk anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Nik Omar, untuk bertanding atas tiket PAN di N.06 Chempaka dalam PRU14, saya menjangkakan bahawa tindakan ini akan memakan diri PAN sendiri.
 
Seperti diketahui, Nik Omar telah berkali-kali menyebut tidak akan bertanding dalam PRU14 atas faktor “Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima” kerana “Apa jua yang kita lakukan pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu”.
 
Bila pemimpin PAN terus-terusan memujuk Nik Omar walaupun mereka cukup tahu bahawa isteri Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan bonda Nik Omar, Datin Tuan Sabariah, tidak memberi keizinan dan restu, persepsi rakyat ialah PAN pemecah belah keluarga.
 
Maklum balas yang saya terima pagi ini rata-rata menyebut mengenai betapa terdesaknya PAN di dalam berpolitik sehingga ke tahap sanggup mendorong Nik Omar supaya mengingkari kata-kata dan melukai hati isteri Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan bonda beliau sendiri.
 
Selain menimbulkan keributan di dalam keluarga Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, tindakan PAN menurunkan Nik Omar sebagai calonnya pasti akan menghadapkan Nik Omar dengan pelbagai kritikan yang tidak dapat tidak akan menjejaskan nama Almarhum juga.
 
Tindakan PAN menurunkan Nik Omar juga akan mempertembungkan beliau dengan adik beliau, Nik Mohd Abduh, dan dua sepupu beliau, Datuk Tuan Ibrahim dan Datuk Dr Nik Zawawi, selaku calon-calon PAS di P.25 Bachok, P.24 Kubang Kerian dan P.28 Pasir Puteh.
 
Sebab itulah tindakan PAS menurunkan Nik Mohd Abduh di P.25 Bachok, bukannya di P.20 Pengkalan Chepa atau N.06 Chempaka, adalah tindakan terpuji yang menghalang pertembungan adik-beradik yang boleh menjejaskan nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz.
 
Tindakan PAN menurunkan Nik Omar dan menjanjikan jawatan Menteri Besar kepada beliau juga menjadi petanda jelas bahawa PAN tidak mempunyai kekuatan sendiri sehingga memerlukan ia mencari jalan menumpang nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz.
 
Ia juga menjadi petanda jelas bahawa PAN amat ketandusan pemimpin yang berwibawa, khususnya dari kalangan golongan ustaz dan Ulama’, sehingga menyebabkan ia terpaksa mencari tokoh yang berada di luar parti untuk ditonjolkan sebagai pemimpinnya.
 
Perkara ini sudah tentu akan merendahkan moral dan menjejaskan semangat pemimpin PAN lain yang berjuang bermati-matian sebelum ini demi memajukan parti itu kerana mereka akhirnya tidak diyakini untuk dinobatkan sebagai calon dan bakal Menteri Besar.
 
Apa pun, walaupun membawa nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, saya menjangkakan dengan cukup yakin bahawa Nik Omar akan kalah di tangan calon PAS, Ahmad Fathan, yang di dalam PRK N.06 Chempaka pada 22 Mac 2015 dulu berjaya memperoleh 10,899 undi.
 
Walaupun membawa nama bapa beliau, Nik Omar, sama seperti Datuk Dr Mujahid di P.57 Parit Buntar dan Muhammad Faiz di N.11 Permatang Pasir yang turut membawa nama bapa mereka, yang mereka bawa hanyalah nama, bukan pemikiran dan tindakan bapa mereka.
 
Ini kerana kajian yang jujur dan objektif terhadap Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Almarhum Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadzil akan mendapati bahawa pemikiran dan tindakan mereka adalah selari dengan pemikiran dan tindakan pemimpin PAS sekarang.
 
Dan kajian yang jujur dan objektif terhadap Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Almarhum Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadzil akan mendapati bahawa pemikiran dan tindakan mereka adalah bercanggah dengan pemikiran dan tindakan pemimpin PAN sekarang. - HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: