Isnin, 16 April 2018

Nawawi jamin beri saingan kuat kepada Dr M di Langkawi

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir. Nawawi Ahmad menghormati pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih untuk bertanding di kawasannya, namun beliau memberi jaminan Barisan Nasional (BN) akan memberi saingan yang hebat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 
 
Malah katanya, persaingan ini diberikan dalam mempertahankan manfaat dan kemajuan yang diperoleh rakyat Langkawi sepanjang BN memerintah di sini.
 
"Kita nak bersaing dalam PRU ni bukan untuk Dr Mahathir atau saya atau untuk sesiapa tapi untuk rakyat Langkawi dan negara. Apa saja yang kita buat untuk kepentingan rakyat, jadi saya tak nampak parti lain akan mampu untuk membawa Langkawi ke mercu kejayaan kecuali BN.   
 
"Sekarang ni dah pertandingan dalam parti, kita tetap akan mempertahankan BN untuk memastikan bahawa Langkawi berada di bawah jajahan BN untuk mendapat segala bentuk pembangunan di masa hadapan. 
 
"Kalau parti lain yang ada di Langkawi, sudah tentu ia akan menjadi sumbing dan agihan untuk pembangunan sukar untuk kita dapat kerana berbeza parti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam terjawab sudah teka-teki mengenai kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi mantan perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun itu.
 
Perkara itu diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semasa berucap pada rapat umum, Jelajah PH Langkawi yang berlangsung di Padang Mat Sirat malam tadi.
 
Kali terakhir Dr Mahathir bertanding pada pilihan raya ialah Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999. 
 
Sebelum ini Dr Mahathir memberitahu beliau dijangka bertanding di antara tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.
 
Sehubungan dengan itu, Nawawi mendakwa sekiranya BN memberi peluang sekali lagi kepadanya, maka pelbagai projek pembangunan baru bakal dijalankan di Langkawi.
 
Ujarnya kejayaan 'Langkawi Blueprint 1.0' telah merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor perlancongan di Langkawi, dan ia akan terus dinaiktaraf.
 
"Kita akan lancar 'Langkawi Blueprint 2.0' yang akan melonjakkan Langkawi ke 'next level'.
 
"Langkawi bakal menjadi sebuah tempat perlancongan yang terhebat di rantau ini dan malah pada peringkat dunia.
 
"Saya juga yakin dengan bantuan kerajaan pusat, Langkawi bakal dapat bersaing seiring Pulau Bali dan Phuket," katanya lagi.
 
Untuk rekod Nawawi telah menyandang kerusi parlimen Langkawi sejak 2013, apabila mengalahkan Ahmad Abdullah (PKR) dengan jumlah 21,407 undi.
 
Beliau juga telah menjadi ADUN Kuah sejak tahun 2004.
 

Tiada ulasan: