Selasa, 17 April 2018

MyPPP mungkin keluar BN

Zikri Kamarulzaman


  MyPPP akan mempertimbangkan semula keahliannya sebagai parti komponen BN selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan itu susulan percubaan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas untuk mendapatkan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang secara tradisi diperuntukkan kepada MIC.

"Majlis Tertinggi MyPPP sebulat suara memutuskan untuk kekal bersama BN.

"Walau bagaimanapun, ini akan dipertimbangkan semula selepas mesyuarat antara presiden MyPPP dan pengerusi BN sebelum agihan kerusi dimuktamadkan," kata Kayveas pada sidang akhbar di luar ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.


Beliau mengegaskan bahawa dirinya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Segambut, dan memberi amaran bahawa pengundi di Cameron Highlands mungkin memberontak menentang BN jika MyPPP tidak diberikan kerusi berkenaan.

Terdahulu, kira-kira 100 penyokong Kayveas berkumpul di luar pejabat MyPPP ketika majlis tertinggi parti itu sedang mengadakan mesyuarat.

Mereka melaungkan Hidup Kayveas" dan "Kami mahu Cameron Highlands" sambil memegang sepanduk, yang antaranya tertera "Jangan cabar kesetiaan kami."

Ditanya apa yang akan berlaku sekiranya parti itu gagal mendapatkan kerusi Cameron Highlands, Ketua Bahagian MyPPP Tampin VM Raja berkata parti itu tetap akan terus berkhidmat kepada penduduk.

"Kita tidak akan mengkhianati BN, tetapi kita akan berdiam diri dan akan membuktikan kepada mereka apa yang boleh kita lakukan," kata Raja kepada Malaysiakini.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: