Isnin, 2 April 2018

MANSUH GST TIDAK JEJAS EKONOMI NEGARA- MUHYIDDIN

Foto Syakirin Daud@watan-online

Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan yang menyatakan ekonomi negara bakal terjejas teruk sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuh.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH telah membuat kajian terperinci tentang langkah yang perlu diambil bagi mengembalikan keseimbangan ekonomi negara selepas GST dimansuh seperti yang telah dijanjikan dalam Manifesto PH sebelum ini.
Foto Syakirin Daud@watan-online
“Kita bukan membuta tuli nak mansuhkan GST, kita ada pakar yang telah menganalisa tentang keadaan kewangan negara dan kita tahu langkah-langkah menyeluruh yang kita akan ambil untuk menggantikan GST.

“Yang penting pendekatan kita tidak akan memberi bebanan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu sidang media selepas program Kempen Rakyat Tolak GST Bersama Presiden PPBM di hadapan kompleks SOGO, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata PH akan mengumumkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.
Foto Syakirin Daud@watan-online
Menurut beliau, PH tidak pernah mengenakan sebarang larangan kepada mana-mana parti komponen untuk mengumumkan calon masing-masing terlebih dahulu jika mempunyai keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita akan umumkan (calon) dalam masa terdekat.

“Tidak apa mana-mana komponen yang sudah selesai untuk umumkan calon jika perlu, kita juga akan umumkan tidak lama lagi, bukanlah semua tetapi bergantung kepada mana-mana kawasan yang perlu,” ujar beliau ketika menjawab soalan mengenai tindakan DAP yang sudah mengumumkan calon parti tersebut di beberapa kawasan.


Tiada ulasan: