Selasa, 17 April 2018

Mahkamah melawat kediaman, lokasi Kevin Morais dilanggar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azman Abdullah bersama pasukan pendakwaan dan pembelaan hari ini melawat tiga lokasi termasuk tempat kemalangan melibatkan kereta yang dinaiki Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dengan Mitsubishi Triton.
 
Kesemua tertuduh, tiga penganggur, R. Dinishwaran, 26; A.K. Thinesh Kumar, 25; M. Vishwanath, 28; pelajar kolej, S. Nimalan, 25, dan pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 47, turut dibawa ke lokasi kejadian.
 
Bagaimanapun, pakar patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 55, yang turut didakwa bersama lima tertuduh itu tidak dibawa bersama-sama.
 
Tiga lokasi tersebut adalah kediaman Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu di Kondominium Menara Duta, tempat kereta mangsa dilanggar dan tempat mangsa berhenti bagi melihat keadaan keretanya di Jalan Dutamas Raya di sini. 
 
Pasukan pendakwaan dan pembelaan menghabiskan masa kira-kira 45 minit melawat tiga lokasi itu sebelum pulang ke mahkamah untuk sambung bicara kes tersebut.
 
Kesemua lelaki berkenaan didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.
 
Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
 
 

Tiada ulasan: