Isnin, 23 April 2018

Mahkamah gantung keputusan RoS bubar sementara Bersatu

Sitifatimah

KUALA LUMPUR  – Mahkamah Tinggi hari ini menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membubarkan sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keputusan dibuat Hakim Datuk Azizah Nawawi, dengan membenarkan permohonan Bersatu yang diwakili peguam Rosli Dahlan, memulakan prosiding semakan kehakiman.

Azizah turut menolak bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsol Bolhassan.

Dengan kebenaran itu, merit penuh cabaran semakan kehakiman Bersatu termasuk membatalkan sebarang keputusan oleh RoS untuk membubarkan parti itu kini boleh dibicarakan.


Pada 13 April lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Shahruddin Md Salleh memfailkan permohonan semakan kehakiman kali kedua dengan menamakan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim sebagai responden tunggal.

Parti itu memfailkan semula permohonan berkenaan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 April, menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman atas alasan permohonan itu sudah menjadi akademik.

Dalam permohonan baru berkenaan, Shahruddin memohon perintah bagi membatalkan keputusan pendaftar pertubuhan yang didakwa menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 apabila memutuskan bahawa Bersatu tidak menghantar maklumat di bawah notis Seksyen 14(2).


Tiada ulasan: