Khamis, 5 April 2018

Mahathir lupa projek membazir di eranya

Muhammad Arif Ismail

 
 
KOTA  BHARU: Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamed menghentikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai tidak masuk akal.
 
Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, negeri-negeri Pantai Timur sekarang berdepan masalah pengangkutan.
 
“Jadi dengan adanya ECRL ia boleh mempercepatkan lagi perjalanan ke Kuala Lumpur hanya kira-kira empat jam.
 
"Saya tidak tahu apa alasannya mengeluarkan kenyataan itu, tetapi kita melihat dalam konteks Kelantan, kenapa kita menyokong projek yang boleh merancakkan pembangunan ekonomi,” katanya selepas merasmikan Karnival Antarabangsa Bio Kelantan 2018 di Kelantan Trade Center semalam.
 
Baru-baru ini Pakatan Harapan dilaporkan tidak menolak kemungkinan menghentikan ECRL sekiranya menang pilihan raya umum (PRU) 14.
 
Menurut Dr Mahathir projek yang bernilai RM55 bilion itu sebagai satu pembaziran kepada ekonomi rakyat dan negara.
 
Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Md Ashaari Mamat pula berkata, Dr Mahathir mungkin lupa projek projek yang dilaksanakannya sebelum ini membazir wang rakyat.

Apa sudah jadi dengan Litar Sepang yang melibatkan wang rakyat yang tidak sedikit. Projek itu impian Dr Mahathir bagi mencipta nama di peringkat dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: