Selasa, 24 April 2018

KRISIS DALAMAN PKR TIDAK BOLEH DIMAAFKAN- AMBIGA




Bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga membidas PKR susulan krisis berhubung pemilihan calon dalam parti itu ketika ini. Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, menyifatkan kemelut dalaman PKR itu sebagai ‘karut’ dan tidak boleh dimaafkan.

“Apabila rakyat melakukan segala-galanya yang termampu untuk mengatasi halangan bagi memastikan mereka boleh mengundi dan membantu dalam pilihan raya ini, perkara karut dalam PKR ini tidak boleh dimaafkan,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya, Isnin.

Portal berita semalam, melaporkan krisis melanda PKR selepas Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dikatakan menolak beberapa nama yang diperakukan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Laporan itu mendakwa, Mohamed Azmin mengusulkan lapan nama sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun ditolak oleh Dr Wan Azizah. Antara nama yang didakwa ditolak itu, termasuklah penyandang kerusi sedia ada iaitu Tian Chua (Parlimen Batu) dan Datuk Dr Tan Kee Kwong (Parlimen Wangsa Maju).

Semalam, Tian Chua dalam satu sidang media memberi amaran kepada pucuk pimpinan PKR supaya berhati-hati dalam memilih calon bagi menghadapi PRU-14.


Tiada ulasan: