Rabu, 18 April 2018

Kos sara hidup di luar bandar juga tinggi - Penduduk Sabak Bernam

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Astro Awani
Kos sara hidup di luar bandar juga tinggi - Penduduk Sabak Bernam
Kos makanan di luar bandar dianggap murah berbanding di bandar. - Gambar hiasan
 
 
SABAK BERNAM: Mee Udang biasa RM5, Mee Udang Special (tujuh ekor udang) RM7.

Selain sedap, menyelerakan, murah dan harga berpatutan pasti menjadi topik bersembang selepas menikmati antara hidangan popular di daerah Sabak Bernam ini.

Faktor-faktor tersebut secara tidak langsung berjaya menarik pelanggan dari luar daerah itu untuk berkunjung dan tidak kurang juga pelancong asing.

Siapa sangka menu Mee Udang Sabak Bernam telah menjadi popular di seluruh negara.
 
"Kerancakan perniagaan ini juga boleh dilihat di mana-mana sahaja di daerah ini dan ia memudahkan sesiapa yang ingin menikmati menu tersebut," jelas salah seorang peniaga gerai Mee Udang di Sabak Bernama, Zaiton  Mokhtar, 65 tahun.

Harga Mee Udang Sabak Bernam yang ditawarkan di gerai Zaiton mungkin dianggap murah bagi penduduk di bandar termasuk para pelancong.

Namun, ia dilihat berbeza dengan penduduk di luar bandar yang hanya menikmati juadah itu sebulan sekali iaitu selepas mendapat bayaran gaji.

Situasi 'makan di luar' itu tidak dipraktikkan oleh seorang pekerja syarikat swasta Sulaiman Ahmad, 41 tahun, apabila dia terpaksa ikat perut untuk menyuap keluarganya.

"Untuk makluman kenaikan harga barang di seluruh negara turut memberi kesan kepada kehidupan kami di luar bandar malahan lebih teruk.

"Kos sara hidup sekarang ini tinggi, rumah dan kereta tanggungan bulanan selain perbelanjaan persekolahan anak-anak.

"Contohnya, di bandar tangisan bayi pada waktu malam yang dahagakan susu memaksa ibu bapa di bandar bangun membuat susu.

"Namun berbeza di kampung apabila ibu bapa tidak mampu bangun bukan kerana malas tetapi kerana kedaifan tidak mampu membeli susu," ujarnya.

Sementara itu menurut seorang peniaga gerai makanan, Rosnah Mat Din isu kos sara hidup di negeri itu  disumbang oleh ketidakseimbangan harga barangan keperluan.

"Harga di negeri ini berbeza-beza. Saya beli di Sungai Buloh harga lain, beli di Tanjong Karang harga lain, beli di Sungai Besar harga lain.

"Tempoh hari saya beli susu di Sungai Buloh lebih murah dari beli di Tanjong Karang, macam mana boleh jadi macam tu?," jelasnya. 
 

Tiada ulasan: