Rabu, 18 April 2018

[KEMASKINI] PRU14: Hadi tidak tanding DUN Rhu Rendang

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya hanya akan bertanding di kerusi Parlimen.
 
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang memberitahu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan beliau sendiri juga hanya akan bertanding di kerusi Parlimen.
 
"Nama-nama calon sudah dimuktamadkan dan PAS akan bertanding tidak kurang 160 kerusi Parlimen pada PRU-14 dan kita sedang memuktamadkan beberapa kerusi membabitkan pihak dalam gabungan Gagasan Sejahtera.
 
"Tidak lebih 10 calon akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN. Untuk makluman presiden dan timbalan, termasuk saya akan bertanding di parlimen sahaja. Calon muda saya boleh sahkan untuk dewan pemuda, ketua, timbalan dan naib ketua pemuda pusat bertanding sebagai calon PRU," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa PAS akan mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada PRU14 di setiap negeri malam esok kecuali Kelantan, yang diadakan di Markas PAS Taman Melewar, Gombak.
 
Tambah Takiyuddin, Kelantan meminta penangguhan untuk memperkemaskan senarai mereka, manakala Sarawak diumum pada 21 April dan Sabah pula keesokan harinya oleh Abdul Hadi.
 
"Senarai calon PAS dan Gagasan Sejahtera yang kita putuskan akan diumumkan malam esok oleh pesuruhjaya pas negeri (masing-masing) kecuali Pahang. Datuk Tuan Ibrahim yg umumkan," ujarnya.
 
Takiyuddin kemudiannya mengakui PAS adalah parti miskin namun begitu bertuah kerana memperolehi sumbangan kewangan daripada pihak luar - pastinya halal - untuk menampung operasinya sepanjang pilihan raya berlengsung.
 
Namun beliau menegaskan, PAS tidak pernah menerima dana daripada Umno Barisan Nasional (BN), seperti yang digembar-gemburkan pihak berkepentingan.
 
PAS juga menerima yuran ahli setiap tahun dan yuran penyertaan muktamar, beritahu Takiyuddin.
 
“Ada ahli dan penyokong PAS beri sumbangan sekecil-kecil RM10 setiap bulan dan sebesar-besar jumlah. Kita tidak semak dia orang PAS atau bukan, asalkan dia bagi sumbangan dengan ikhlas.
 
“Tetapi saya nak tegaskan kita tidak pernah terima sumbangan daripada Umno. Kalau mereka bagi pun kita tidak akan ambil," katanya.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan kemampuan kewangan PAS untuk menampung perbelanjaan 160 calon pada pilihan raya kali ini.
 
Takiyuddin menjelaskan, PAS mempunyai sejuta ahli dan jika setiap ahlinya menyumbang sebanyak RM35 seorang, maka parti itu berjaya mengumpul sebanyak RM35 juta.
 
Mahfuz mendakwa, deposit calon dan bahan kempen sahaja mencecah RM2.4 juta, mengambil kira deposit sebanyak RM15,000 untuk satu kerusi Parlimen.
 
Malah katanya, pihak yang menuduh bahawa wang yang PAS terima itu mempunyai berunsur rasuah, maka disarankan untuk membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 
 
"Kalau ada bukti atau duit tu berunsur rasuah boleh lapor SPRM. Termasuk yang terima RM90 juta, kalau anda rasa betul laporlah. Kami takkan saman sebab menyusahkan. Mereka yang tuduh kemukalah bukti," tegasnya.
 
PAS sebelum ini dikaitkan menerima wang sebanyak RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pemimpin atasan mereka sebagai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik kepemimpinan PAS untuk menyokong BN dan Umno. 
 
Namun ia dinafikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga memfailkan saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.
 
 

Tiada ulasan: