Jumaat, 13 April 2018

Jamal gesa polis siasat Dr M burukkan kerabat diraja Johor

 
Jamal Yunos mahu bekas perdana menteri itu bertanggungjawab terhadap tindakannya menggunakan media untuk melaporkan kes amukan Prebet Adam bagi memburukkan kerabat diraja Johor.
 
 
 


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos menggesa polis menyiasat Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya menggunakan insiden Prebet Adam Jaafar mengamuk di Chow Kit pada 1987 untuk memburukkan kerabat diraja Johor.

Beliau mendakwa bekas perdana menteri itu menggunakan media untuk melaporkan kes amukan Prebet Adam yang dikaitkan dengan kerabat diraja Johor dan cuba menarik balik keistimewaan raja Melayu.

“Saya buat satu laporan polis tentang kes 30 tahun lalu, iaitu kes Prebet Adam digunakan Dr Mahathir untuk mengaitkan kerabat diraja Johor.

“Apa yang Dr Mahathir lakukan kepada rakyat Malaysia dengan menggunakan media ketika itu dikawal sepenuhnya, hampir semua rakyat dalam negara ini percaya dengan dakwaan itu.

“Hakikatnya, selepas 30 tahun didedahkan keluarga Prebet Adam itu satu fitnah dan perbuatan menipu,” katanya di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Semalam, Hawa Jaafar, adik perempuan Prebet Adam memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret dalam insiden amukan abangnya.

Hawa berkata, abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja, bukannya kerana adik mereka yang dikatakan seorang kedi, didakwa dibunuh Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Beliau berkata, keluarganya tiada kaitan dan tidak mengenali mahupun berjumpa dengan kerabat diraja Johor.

Tindakan Prebet Adam melepaskan tembakan rambang dengan senapang M16 di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987 menyebabkan seorang lelaki terbunuh.

Adam ialah anak sulung, manakala Hawa ialah anak ke-2 daripada 9 beradik.

Jamal berkata, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya itu.

“Saya ingin desak apa kaedah dan undang-undang ada digunakan untuk siasat Dr Mahathir kerana perbuatan beliau menyebabkan seluruh rakyat Malaysia ditipu.”

Insiden Prebet Adam kembali mendapat perhatian media selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membangkitkan isu itu ketika mengkritik “individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri” di Facebook Johor Southern Tigers pada 7 April lalu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: