Khamis, 12 April 2018

Isa Samad antara calon PRU14 Negeri Sembilan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
 
SEREMBAN: Nama Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad antara yang dihantar sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menghantar nama Isa sebagai calon kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan, baru-baru ini.
 
Beliau berkata, pemilihan itu dibuat kerana Isa adalah Ketua Umno Bahagian dan sudah semestinya nama beliau antara menjadi calon yang akan bertanding.
 
"Memang saya hantar namanya sebagai calon tetapi kawasan mana saya tidak tahu kerana ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
"Sebelum ini, saya sudah menyatakan kriteria pemilihan calon mestilah pemegang jawatan sedia ada iaitu Ketua Bahagian selain muka baharu," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ulu Kanchong di Taman Forest Heights di sini, hari ini.
 
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SJKC Ladang Ulu Kanchong, Tan Yaw Cho.
 
Ditanya mengenai poster Isa sebagai calon bertanding di Parlimen Port Dickson menjadi tular, Mohamad berkata, beliau tidak mencalonkan Isa khusus di Parlimen itu tetapi hanya menyerahkan nama sebagai calon yang boleh dipertimbangkan untuk mana-mana kerusi.
 
Katanya, beliau meletakkan harapan untuk mengekalkan 22 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu, selain mahu melihat lima hingga tujuh kerusi lain termasuk DUN Chuah dan Sri Tanjung untuk dimenangi parti itu pada PRU-14.
 
 

Tiada ulasan: