Selasa, 24 April 2018

IBRAHIM TANDING PARLIMEN DAN DUN

Foto Syakirin Daud@Watan-Online

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Dr. Ibrahim Ali hari ini mengumumkan untuk sekali lagi bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Pasir Mas dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong.

Beliau berkata keputusan untuk bertanding itu dibuat setelah melihatkan kepada senario politik di Kelantan yang didakwa mampu memberikan kelebihan kepada beliau untuk menang.

“Saya buat keputusan untuk bertanding kerana saya lihat peluang untuk menang sangat cerah.

“Walaupun BN dan PAS sama kuat di Kelantan, tetapi saya tidak melihat BN boleh menang di Pasir Mas kerana majoriti penduduk menyokong PAS. Namun saya difahamkan berlaku isu dalaman tentang calon PAS manakala PKR pula masih kelam kabut untuk putuskan calon.

“Jadi saya berpeluang untuk menang berdasarkan rekod perkhidmatan dan hubungan baik saya dengan warga setempat kerana penduduk Pasir Mas memilih berdasarkan ‘personal touch’,” katanya dalam satu sidang media khas di ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ibrahim dalam satu sidang media sebelum ini berkata beliau yakin untuk menang sekiranya bertanding di Pasir Mas tetapi berharap untuk bertanding atas tiket mana-mana parti.
Foto Syakirin Daud@Watan-Online
Namun ketika ditanya mengenai alasan bertanding sekali lagi sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini, beliau mengaku lebih selesa kerana tidak terikat.

“Saya menganggap bertanding ini sebagai kesinambungan perjuangan saya dan saya selesa begini kerana tidak perlu terikat dengan mana-mana parti. “Walaubagaimanapun jika saya menang, saya akan menyokong mana-mana parti yang selaras dengan kepentingan agama, bangsa dan negara dan akan menyerang yang bertentangan dengan perjuangan ini.

“Antara sebab lain saya ambil keputusan untuk bertanding juga ialah untuk membawa visi ini,” katanya. Untuk rekod, Ibrahim pernah bertanding sebanyak empat kali di Parlimen Pasir Mas sebagai calon bebas iaitu pada tahun 1995, 1999, 2004 dan 2013.

Pada PRU-13, beliau tewas kepada calon PAS Nik Mohamad Abduh ketika bertanding di kawasan yang sama.



Tiada ulasan: