Rabu, 25 April 2018

Husni Hanadzlah pertahan Parlimen Tambun

 
Husni berkata beliau dan calon-calon DUN bawah Parlimen Tambun akan bekerja sebagai satu pasukan.





IPOH: Bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang akan mempertahankan Parlimen Tambun berkata beliau dan calon Barisan Nasional (BN) di 2 DUN bawah Parlimen itu akan bekerja sebagai satu pasukan dalam memastikan kemenangan BN.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan, kami cukup matang untuk memastikan BN mencatatkan kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Perak di kediaman rasmi menteri besar hari ini.

Terdahulu, Ketua BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengumumkan Ketua UMNO Tambun Datuk Aminuddin Hanafiah bertanding DUN Hulu Kinta manakala Mohamad Ziad Mohamed di DUN Manjoi.

Husni meletakkan jawatan menteri pada 27 Jun 2016 dan selepas itu semua jawatan dalam Umno dan hanya kekal sebagai Ahli Parlimen.

Beliau akan menggunakan jaringan masyarakat untuk mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Tambun yang disandangnya selama 6 penggal.

“Bila saya jadi menteri, mereka melihat saya ada protokol. Bila saya sudah letak jawatan, saya jadi ‘pemimpin rakyat’, duduk dengan mereka dan bersama mereka dan jaringan bersama masyarakat menjadi lebih besar.

“Saya percaya masyarakat di Tambun memberi kepercayaan dan bersama-sama menyokong saya yang selama ini bersama-sama membangunkan Tambun,” katanya.

Husni turut yakin pengalaman selaku bekas menteri Kabinet dan ketua UMNO Tambun selama 23 tahun akan memberi kelebihan kepada BN.

Tiada ulasan: