Isnin, 9 April 2018

Gantikan teori ‘RAHMAN’ dengan ‘MAHATHIR’, kata Kit Siang

 
Penasihat DAP itu berkata, biarkan teori 'RAHMAN' sempurnakan ramalannya sehingga PRU14 ini dan digantikan teori 'MAHATHIR' untuk 8 perdana menteri akan datang.


Lim Kit Siang menolak dakwaan beliau akan menjadi perdana menteri jika PH menang PRU14.


PETALING JAYA: Banyak yang diperkatakan tentang teori atau ramalan “RAHMAN” bagi 6 perdana menteri pertama negara.

Kini, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berharap ia akan diikuti ramalan “MAHATHIR” selepas pilihan raya ke-14 (PRU14).

Ramai percaya teori “RAHMAN” meramalkan 6 perdana menteri pertama Malaysia, dengan setiap huruf mewakili nama setiap pemimpin itu, bermula dengan Tunku Abdul Rahman, diikuti Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Biar teori ‘RAHMAN’ menyempurnakan ramalannya sehingga PRU14, dan mungkin ia digantikan teori ‘MAHATHIR’ pula untuk 8 perdana menteri akan datang.”

Lim bekata, 2 huruf pertama teori ini akan menjadi kenyataan jika Pakatan Harapan (PH) menggantikan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan baru di Putrajaya selepas PRU14.

“Ini kerana PH memutuskan Dr Mahathir menjadi perdana menteri ke-7, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8 — memenuhi 2 huruf pertama ramalan ‘MAHATHIR’.

“Sama ada perdana menteri selepas Anwar menepati ramalan ini, hanya masa akan menentukannya,” kata Lim dalam ucapannya pada ceramah kopitiam DAP di Damai, Kota Kinabalu, hari ini. Salinan ucapan itu juga dimuat naik ke blognya.

Lim menolak dakwaan sesetengah pihak, beliau akan menjadi perdana menteri sekiranya PH memenangi PRU14.

Tiada ulasan: