Rabu, 18 April 2018

Dr Mahathir takut kalah di Parlimen Kubang Pasu - Idris Ahmad

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
ARAU: Tun Dr Mahathir Mohamad takut kalah di Parlimen Kubang Pasu dan atas sebab itulah beliau memilih bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Itu kesimpulan yang dibuat Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad ketika mengulas pengumuman Pakatan Harapan (PH) bahawa pemimpin berusia 93 tahun itu akan berentap di kerusi Langkawi 9 Mei depan.
 
Selepas menyertai pembangkang, Dr Mahathir memilih untuk bertanding di kerusi 'selamat' sekali gus meninggalkan kerusi Kubang Pasu yang diwakilinya sejak 1974. 
 
“Dia (Dr Mahathir) memilih Langkawi kerana tidak yakinlah bertanding di Kubang Pasu, tempat dia sendiri. Apa-apa pun, itu hak dia, kita tidak mahu pertikai,” katanya ketika ditemui selepas program soal jawab ‘anda tanya PAS jawab’ di Guar Sanji di sini malam tadi.
 
Beliau sebelum itu diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir untuk bertanding di Parlimen Langkawi sekali gus mungkin akan tersenarai sebagai calon tertua dalam PRU14.
 
Pencalonan ahli politik berusia 93 tahun itu sememangnya sudah dijangka bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri sementara jika gabungan pembangkang PKR itu memenangi PRU14.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata, tindak-tanduk Dr Mahathir yang sering menyerang PAS adalah disebabkan rasa dendam bekas Perdana Menteri itu selepas PAS tidak mengikut telunjuknya.
 
Katanya, Dr. Mahathir juga menyimpan rasa dendam itu selepas pernah tewas kepada calon parti itu dalam pilihan raya umum pada tahun 1969.
 
“Dia marah dengan PAS sebab dia tidak boleh membentuk PAS selain PAS tidak mengikut telunjuknya ketika semua parti lain dalam pembangkang tunduk.
 
“Seperti biasa, Dr Mahathir ini tidak boleh orang sekat kemahuannya. Sifatnya, dia mesti capai kemahuan, siapa tidak ikut akan menjadi musuh,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: