Sabtu, 7 April 2018

DAP ketepi hak ahli apabila guna logo PKR pada PRU14

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Majoriti ahli akar umbi DAP kecewa dengan keputusan parti itu apabila mereka bersetuju menggunakan logo PKR untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata bekas ahli DAP Tan Tuan Tat.
 
Ujarnya, tindakan ini merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah DAP yang telah menggunakan logo 'roket' itu sejak tahun 1969. 
 
Katanya, kepimpinan tertinggi DAP yang diterajui legasi Lim itu sudah membelakangkan kemahuan dan perasaan ahli-ahli DAP apabila bersetuju untuk menggunakan logo lain, yang selama ini diperjuangkan mereka.
 
"Ramai ahli DAP tidak berasa gembira dengan perkara ini malah pengasasnya juga cakap tindakan (tidak guna logo DAP) ini juga salah.
 
"Bila saya baca yang PH umumkan mahu bertanding di bawah satu logo, saya terfikir kenapa mereka tidak menggunakan logo DAP, sebab saya rasa DAP sangat kuat malah DAP juga berjaya memperoleh banyak kerusi di parlimen.
 
"Jadi inilah DAP, maksud saya ketua-ketua dalam DAP ini tidak bertanggungjawab, ahli akar umbi telah bekerja keras memperjuangkan parti, adakah mereka ini sebenarnya hormat ahli-ahli DAP yang lain?," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam, Pakatan Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan gabungan itu akan menggunakan logo PKR pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
 
Pengumuman tersebut dibuat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramah Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, Johor Bahru, malam semalam.
 
Kehampaan terhadap penggunaan logo PKR itu turut diluahkan salah seorang pengasas DAP, Dr. Chen Man Hin yang menganggap parti yang pernah diasaskannya itu sepatutnya meneruskan sahaja hasrat untuk menggunakan logo sendiri pada PRU14.
 
Cuba perdaya kaum Melayu
 
Malah Man Hin yang juga bekas Pengerusi DAP itu mengakui berasa amat sedih kerana kepemimpinan tertinggi yang diketuai Penasihat, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng apabila terpaksa ‘mengorbankan’ logo yang begitu sinonim dengan parti tersebut.
 
Mengulas lebih lanjut perkara itu, Tuan Tat berkata langkah ini juga dilihat sebagai memperdayakan pengundi-pengundi Melayu di negara ini yang menyokong PH.
 
"PH mahu menggunakan logo PKR sebab diketahui PKR sebagai parti yang mempunyai kepelbagaian kaum.
 
"Jadi ini bermakna, pengundi Melayu juga boleh mengundi DAP.
 
"Dengan menggunakan logo PKR, bukan sahaja masyarakat Cina tetapi pengundi Melayu juga akan rasa tertipu setelah mereka mengundi nanti," katanya lagi.
 
Untuk rekod, PH sebelum ini mengumumkan pendirian untuk bertanding di bawah satu logo bagi PRU kali ini.
 
Namun pada 27 Februari lalu, Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, pembangkang akan menggunakan lambang salah sebuah parti komponen ekoran Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sehingga kini tidak meluluskan pendaftaran gagasan itu.
 
RoS pada 23 Mac lalu memaklumkan, pendaftaran PH gagal diproses ekoran berpunca daripada PPBM yang masih belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen yang diminta mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.
 
 

Tiada ulasan: