Selasa, 24 April 2018

CALON UMNO SELANGOR TAK BOLEH TANDING PEMILIHAN PARTI




Calon UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu menandatangani aku janji untuk tidak bertanding pada pemilihan UMNO akan datang bagi membolehkan mereka memberikan fokus kepada kawasan masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu akan dapat meyakinkan pengundi bahawa calon yang bakal diberi mandat wakil rakyat itu dipilih khusus untuk berkhidmat hanya untuk rakyat.

Noh yang juga Pengerusi BN Selangor berkata mereka yang tercalon akan menandatangani aku janji berkenaan pada majlis pengumuman calon BN Selangor esok.

 “Siapa menang (PRU14) tak bertanding sesama wakil rakyat dalam pemilihan UMNO akan datang sebab kita nak buktikan kita bekerja untuk rakyat. Yang penting, sebagai wakil rakyat, kita bekerja untuk rakyat dan bekerja sebagai pasukan,”katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi perjumpaan dengan anggota Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Selangor, di Shah Alam, Ahad.

Mengenai pengumuman calon esok, Noh berkata senarai calon kali ini akan menampilkan banyak muka baharu selain kira-kira enam wakil wanita.

“Semua layak jadi calon namun hanya seorang yang akan dipilih, walaupun calon bukanlah ‘sempurna’ tetapi mereka adalah yang ‘boleh menang dan disukai’,” katanya.


Tiada ulasan: