Rabu, 25 April 2018

Calon lama Langkawi, Jerlun, mampukah BN sekat Mahathir, Mukhriz?

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas Pakatan Harapan di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

ALOR SETAR – Sudah terjawab segala penantian apabila Barisan Nasional (BN) Kedah mempertaruhkan dua calon penyandang di Langkawi dan Jerlun bagi berdepan dua beranak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun, adakah strategi mengekalkan Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Datuk Othman Aziz ini mampu menyekat dua pemimpin blok pembangkang, Pakatan Harapan tersebut daripada meneruskan kemaraan mereka di negeri Jelapang Padi tersebut?

Kedua-dua calon BN ini merupakan anak tempatan di kawasan tersebut dan mereka sememangnya sudah mempunyai hubungan yang rapat dengan akar umbi, mungkin ini faktor yang diambil  kira dengan keputusan mengekalkan kedua-dua calon penyandang kerusi tersebut.

Berbeza dengan Mahathir yang sebelum ini semasa menjawat jawatan perdana menteri, kerusi lamanya adalah di Kubang Pasu.

Sementara Mukhriz pula bekas Ahli Parlimen Jerlun pada 2008 sebelum bertukar ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ayer Hitam dimana ia merupakan kerusi Othman yang juga Ketua Bahagian disitu.

Bagi penganalisis Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menyifatkan pertarungan kali ini menarik kerana kedua-dua calon BN dan pembangkang sebelum ini mempunyai hubungan akrab ketika dalam satu parti.

Nawawi mempunyai hubungan baik dengan Mahathir dan Othman juga, namun kemelut politik memisahkan mereka kerana perbezaan haluan politik.

“Walaupun Nawawi ada hubungan rapat dengan Mahathir tapi bila jadi lawan agak susah sikit, Othman juga baik dengan Mukhriz tapi sekarang nak kena lawan Mukhriz.

“Di Langkawi, pengaruh Mahathir memang ada walaupun bukan orang asal sana dan kemenangan Othman juga dipengaruhi sentimen Mukhriz semasa pilihan raya lalu,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Namun, Mohd Azizuddin tidak menolak faktor anak tempatan dan sentuhan dengan pengundi setempat mungkin memberi kelebihan kepada Nawawi dan Othman untuk meraih sokongan pengundi dikawasan mereka semasa pilihan raya nanti.

“Mungkin faktor anak tempatan sedikit berkelebihan kepada dua calon BN di Langkawi dan Jerlun kerana mereka ini sudah dikenali oleh pengundi dikawasan masing-masing dan memahami isu-isu local disana.

“Apa yang perlu mereka lakukan adalah menyakinkan pengundi dan lebih kerap turun ke padang untuk meninjau masalah rakyat dikawasan mereka,” katanya lagi.

Bagi Nawawi pula mengakui akan berdepan tentangan sengit daripada Mahathir kali ini, bagaimanapun faktor usia calon perlu diambil kira dan kelebihan dimilikinya adalah kecergasan dan kemampuan untuk menyumbang selaku wakil rakyat di Langkawi.

“Sudah tentu ada batasan dari segi fizikal, mental dan tenaga kerja. Mungkin satu hari dia tidak boleh kerja 24 jam sebagaimana orang muda seperti kami.

“Kami menghormati Dr Mahathir, namun begitu orang Langkawi akan pilih wakil rakyat yang boleh kerja siang malam di tempat sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, ura-ura mengatakan nama Nawawi digugurkan tapi sebaliknya BN Kedah mengekalkannya untuk kekal dikerusi panas tersebut.

Bagi Othman, prestasi Mukhriz boleh dipersoalkan apabila beliau sebaliknya bertukar kerusi tidak mempertahankan Ayer Hitam sebaliknya ke Jitra walhal sepatutnya kekal menjalankan tanggungjawab dikawasan tersebut.

“Saya hairan kenapa beliau (Mukhriz Mahathir) tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, mungkin juga atas prestasi beliau atau tidak yakin mempertahankan kerusi itu,” katanya.

Di Jerlun, saingan tiga penjuru dijangkakan apabila Pas juga akan meletak calon mereka, Yang Dipertua Pas Kawasan, Abdul Ghani Ahmad.

Di Langkawi, setakat ini yang mengesahkan akan mencabar Nawawi hanya Mahathir dan Pas belum memutuskan siapa calon mereka. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: