Sabtu, 28 April 2018

Calon KM Melaka dari PKR jelaskan sebab U-turn

Geraldine Tong

   
PRU14 I Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini menjelaskan keputusannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Melaka pada minit-minit terakhir.

Ini bertentangan dengan keputusan awal beliau untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi DUN sebelum ini.

"Parti saya mahu saya bertanding di kerusi negeri sekiranya Melaka jatuh (kepada Pakatan Harapan) supaya kita mempunyai pilihan untuk ketua menteri," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di pusat penamaan calon Parlimen Hang Tuah Jaya.

Terdahulu, Shamsul menghantar wakil bagi menyerahkan borang pencalonan di kerusi berkenaan yang akan menyaksikan beliau menentang pencabarnya, yang juga bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau sebaliknya hadir ke pusat penamaan Jasin untuk menyerahkan sendiri borang pencalonan bagi kerusi DUN Rim pagi ini.

Bagaimanapun, Shamsul kemudian hadir di Pusat Pencalonan Hang Tuah Jaya selepas itu bagi bertemu penyokong beliau.

Shamsul sebelum ini enggan bertanding di Machap Jaya dan menyatakan sokongannya kepada Ginie Lim untuk bertanding di kerusi berkenaan.




Ginie merupakan calon PKR Machap Jaya sejak 2008 dan dipilih semula di kerusi itu selepas Shamsul menolak untuk bertanding di situ.

Shamsul kemudiannya disenaraikan sebagai calon kerusi DUN Rembia dalam senarai calon rasmi PKR.

Bagaimanapun oleh kerana hatinya terpaut di Klebang, Shamsul memilih untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi DUN.

"Saya mahu Klebang kerana ia terletak betul-betul di sebelah Hang Tuah Jaya tetapi Rim juga bersebelahan dengan Hang Tuah Jaya. Dan Rim adalah kampung halaman saya.

"Rim juga mempunyai majoriti yang lebih kecil daripada Klebang," katanya menjelaskan sebab beliau melakukan pusingan-U untuk bertanding di kerusi DUN.

BN memenangi Rim pada pilihan raya lepas dengan majoriti 1,121 undi dan Klebang dengan majoriti 2,097 undi.

Shamsul juga berkata beliau pada mulanya tidak mahu bertanding di Rim kerana tidak mahu mengambil tempat Azmi Khamis, yang bertanding di DUN berkenaan pada dua pilihan raya lalu.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama PKR bertanding di Klebang, yang sebelum ini ditandingi DAP.

Namun apabila Azmi memutuskan untuk melepaskan kerusi Rim, Shamsul berkata beliau sudi menerimanya.

"Kami membincangkan perkara ini semalam dan keputusan itu dibuat malam tadi," kata Shamsul



Tiada ulasan: