Ahad, 29 April 2018

Calon boleh berkempen di mana sahaja- KPN

Wartawan MalaysiaGazette
Fuzi
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun


KUALA LUMPUR- Semua calon pilihanraya umum ke-14 (PRU14) bebas untuk berkempen di mana sahaja asalkan nama mereka mempunyai permit yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tiada undang-undang yang melarang calon-calon PRU14 untuk bercakap di luar kawasan mereka serta membantu rakan-rakan yang lain untuk berkempen.

Beliau sekaligus menafikan khabar angin yang disebarkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab yang mengatakan pihak polis mengeluarkan  satu arahan baharu yang melarang calon untuk berkempen di luar kawasan mereka.

“Semasa tempoh berkempen, hanya calon dan ejen mereka di bawah kawasan pilihanraya tersebut yang boleh memohon permit berkenaan seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

“Tempoh permohonan bagi permit tersebut juga tidak dihadkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fuzi, calon atau ejen boleh menjemput sesiapa sahaja untuk berkempen di kawasan tersebut asalkan nama mereka disenaraikan bersama tarikh, masa dan tempat secara khsusus di dalam permit tersebut.

Bagi pihak yang hendak mengadakan perhimpunan pula, Fuzi menegaskan mereka perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum ianya dilangsungkan sebagaimana yang telah ditetapkan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: