Selasa, 24 April 2018

BN umum calon P. Pinang…muka baharu cabar Nurul di Permatang Pauh

THE MALAYSIAM TIMES
 


GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mempertaruhkan gabungan muka lama dan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, dengan menamakan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said sebagai calon kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Mohd Zaidi, 49, merupakan antara muka baharu yang diumum sebagai calon BN dan dijangka berhadapan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang akan bertanding di kawasan ‘panas’ dan dikatakan kubu kuat PKR itu.

Senarai calon yang diumum Setiausaha BN negeri Omar Faudza di sini hari ini merangkumi 60 peratus muka baharu dengan tujuh daripadanya berusia di bawah 40 tahun dan calon paling muda berusia 32 tahun iaitu bekas guru, Koo Pei Chee yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lancang.

Tiga penyandang kerusi Parlimen daripada UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Datuk Shabudin Yahaya juga kekal bertanding di kawasan masing-masing iaitu Kepala Batas, Balik Pulau dan Tasek Gelugor.

BN Pulau Pinang akan bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN empat Parlimen; UMNO (15 DUN dan lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen) dan MIC dua DUN.

Calon muka baharu yang ditampilkan BN Pulau Pinang kali ini ialah dua daripada MIC iaitu J. Dhinagaran (DUN Bagan Dalam) dan M. Suresh (DUN Perai); lapan daripada Gerakan; 10 daripada MCA dan lapan daripada UMNO.

Lapan muka baharu Gerakan ialah Hartini Tan Abdullah (DUN Bukit Tambun); Kiew Hen Chong (DUN Jawi); Ooi Zhi Yi (DUN Kebun Bunga); H’ng Khoon Leng (DUN Padang Kota); Koo Pei Chee (DUN Batu Lancang); Tan Kah Leong (DUN Ayer Itam); Baljit Singh (Parlimen Jelutong); dan Andy Yong Kim Seng (Parlimen Bukit Bendera).

Sepuluh muka baharu MCA pula ialah Lee Beng Seng yang akan berhadapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di kawasan Parlimen Bagan; Lim Hai Song (DUN Sungai Puyu); Ang Chor Keong (DUN Bagan Jermal); Goh Swee Gim (DUN Berapit); Kuan Hin Yeep (DUN Bagan Lalang); Lim Swee Bok (DUN Pengkalan Kota); Tan Hing Teik (DUN Komtar); Khoo Kay Teong (DUN Seri Delima); Wong Chin Chong (DUN Paya Terubong) dan Chuah Seng Guan (Parlimen Bayan Baru).

Turut dinamakan sebagai calon BN pada PRU14 ialah bekas calon pilihan raya kecil Permatang Pauh 2015, Suhaimi Sabudin yang bakal turun sebagai calon DUN Penanti, manakala Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow pula bakal berhadapan calon DAP Zairil Khir Johari di DUN Tanjong Bunga.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman; Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Abdul Hamid; dan penyandang kerusi DUN Bayan lepas Nordin Ahmad tidak dicalonkan semula.

Zainal Abidin, yang turut hadir pada majlis penyerahan watikah pelantikan calon BN itu, sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU14 dan kawasan yang ditandinginya Parlimen Nibong Tebal menurunkan muka baharu Shaik Hussein Mydin, 46, manakala kawasan Jahara iaitu DUN Teluk Air Tawar juga menurunkan muka baharu Zamri Che Ros, 49.

Calon muka baharu lain daripada UMNO ialah Nor Hafizah Othman, 42, (DUN Permatang Berangan) yang bakal berhadapan calon PPBM Datuk Seri Mohd Shariff Omar; Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin (DUN Seberang Jaya); Mohamad Sani Bakar (DUN Sungai Bakap); Laikat Ali Mohamed Ali (DUN Batu Maung); dan Rusli Hashim (DUN Bayan Lepas).

Teng ketika berucap pada majlis itu berkata BN Pulau Pinang merakam ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua anggota Parlimen dan DUN penggal lepas yang memilih untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau berkata apa yang penting semua calon BN perlu turun dengan satu semangat dan pemikiran untuk menang sekali gus membantu mempertahankan Putrajaya.

“Ketepikan dahulu semua isu-isu, perasaan tidak puas hati, tidak suka yang ada sebelum ini…yang penting kita turut dengan mentaliti untuk menang di negeri dan pusat,” katanya.

Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 DUN. Pada PRU13, DAP menang di 19 kerusi DUN, BN (10), PKR (10) dan PAS (satu), manakala bagi kerusi Parlimen DAP (tujuh); BN (tiga); dan PKR (tiga).

Tiada ulasan: