Isnin, 16 April 2018

BN bakal hilang undi akibat kenaikan kos sara hidup – Zairil Khir Johari


Roketkini.com

Penyandang Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, berkata UMNO-Barisan Nasional (BN) akan kehilangan undi akibat kegagalan mereka menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan penyandang Parlimen Tasik Gelugor Datuk Shahbudin Yahaya yang mendakwa pengundi Melayu yang menyokong pembangkang akan kembali kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurutnya, kenyataan Shabudin itu hanya membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO langsung tidak memahami realiti sebenar rakyat.

Zairil turut memetik kenyataan pengarah urusan rantaian pasar raya Mydin, Dato’ Wira Ameer Ali Mydin, di BFM baru-baru ini yang menyatakan bahawa sektor runcit di Malaysia dijangka menghadapi masa sukar.

Katanya, kenyataan itu dibuat berdasarkan hakikat bahawa jualan runcit dan pasar raya telah menurun secara konsisten dalam masa satu tahun yang lalu, walaupun KDNK Malaysia menunjukkan angka pertumbuhan positif.

Menurut Ameer, salah satu sebab utama penguncupan ini adalah inflasi.

“Merujuk 150 item asas di kedai-kedainya, beliau mendedahkan bahawa harga jualan telah naik lebih daripada 14 peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu. Ini termasuk barangan isi rumah asas seperti kubis yang meningkat 29 peratus, ikan kembung hitam (19.5 peratus), sos cili Maggi (38.8%) dan sardin jenama Ayam (30.6 peratus).

“Ini jauh berbeza berbanding statistik indeks harga pengguna rasmi yang diterbitkan oleh Kerajaan,” kata Zairil.

Kata Zairil, data membimbangkan daripada Mydin ini menunjukkan bahawa B40 atau 40 peratus isi rumah terbawah di negara kita terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Ia katanya diakibatkan secara langsung dan tidak langsung oleh dasar BN sejak lima tahun yang lalu. Ini termasuk pelaksanaan GST pada tahun 2015, pemansuhan subsidi bagi petrol, gas, minyak masak dan gula, serta kelemahan ringgit berikutan skandal kewangan 1MDB.

“Dengan keadaan sebenar ekonomi yang mengerikan ini, adalah sangat mengejutkan apabila Shabudin dan pemimpin UMNO lain berani menganggap bahawa mereka akan memenangi lebih banyak undi, terutamanya daripada orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk sebahagian besar B40.

“Sebenarnya, adalah hampir pasti bahawa pengundi secara besar-besaran akan menjauhi BN yang jelas telah menghampakan mereka, dan sebaliknya memilih kerajaan baru yang komited untuk menangani isu sara hidup semua rakyat Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: