Jumaat, 6 April 2018

Beri mandat PRU14 kepada PAS semula

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD


KEMAMAN: Mutakhir ini kelihatan sokongan masyarakat Tionghua kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) khususnya di Terengganu semakin kembali bertaut.
 
Ini dapat dibuktikan dengan beberapa siri pertemuan, sambutan Tahun Baharu Cina serta program ramah mesra antara pimpinan PAS dengan warga Tionghua di beberapa kawasan negeri ini.
 
Kelmarin, Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai turut mengadakan Dialog Warga Tionghua Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, sempena Himpunan Kekalkan Dun Chukai (HKDC) 2.0, di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Chukai, di sini.
 
Dua pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan tetamu khas majlis dialog tersebut.
 
Dato' Seri Abdul Hadi berharap agar pengundi kaum Tionghua di Terengganu ini dapat memberi mandat sekali lagi kepada PAS memerintah negeri.
 
Ini kerana katanya, hanya PAS yang mampu menunaikan segala janji-janji kepada rakyat setelah parti itu menang pilihan raya.
 
"Saya harap supaya pengundi-pengundi kaum Tionghua memberi kepercayaan kepada kita (PAS) sekali lagi. Tahun 1999, PAS pernah memerintah negeri Terengganu dan kita (PAS) kalahkan Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar) di sini (Chukai), PAS menang. 
 
"Kita memerintah 1999-2004, masa itu kita janji macam-macam dan kita buat (tunai) janji kita. Janji pada semua rakyat, bukan sahaja orang Islam juga orang bukan Islam. Bukan sahaja orang Melayu termasuk juga orang Cina, orang India.
 
"Ini kerana, Islam ajar kita adil untuk semua dan Quran suruh kita adil kepada semua. Kalau kita buat zalim kepada sesiapa sahaja termasuk buat zalim kepada orang Cina pun kita (Islam) berdosa," tegasnya ketika berucap pada majlis itu. 
 
Beliau turut mengingatkan warga Tionghua itu mengenai janji-janji Kerajaan PAS Terengganu ketika memerintah satu penggal lalu.
 
"Semasa kita menang dahulu, kita janji masa pilihan raya nak hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Kita buat sungguh, kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman walaupun dalam kawasan bandar tempat ramai orang Cina. Sebab, rumah tempat tinggal adalah rukun hidup. 
 
"Semasa itu saya jadi Menteri Besar, saya diberitahu orang Cina (Chukai) menghadapi masalah untuk (urus) rumah mayat di Kemaman ini yang tidak boleh diselesaikan oleh Umno, kita (PAS) selesaikan. 
 
"Banyak lagi perkara yang kita hendak buat tapi tidak sempat kerana empat tahun sahaja kita (PAS) memerintah (Terengganu)," ujarnya. 
 
Mantan Menteri Besar Terengganu itu yakin jika PAS diberi semula mandat memerintah, parti itu mempunyai pengalaman dan kepakarannya.
 
"Kita juga selesaikan masalah tanah untuk rumah kediaman dan tanah untuk pertanian. Di Kampung Air Jernih, Kemasik ada kita beri tanah kepada mereka (Cina). 
 
"Umno-BN yang memerintah lama, berpuluh tahun tidak bagi (beri) tanah dan kita (PAS) selesai masalah itu dalam masa empat tahun. Kita dapat menyediakan 60,000 lot tanah untuk rakyat pada waktu itu di seluruh negeri. 
 
"Zaman Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, dia rampas hak royalti minyak Petroleum Terengganu. Tapi, kita tetap hapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud walaupun tanpa royalti. 
 
"Cara kita (PAS) selesai masalah kewangan dengan dikenakan cukai kepada korporat yang besar-besar dan bukan mengenakan cukai kepada rakyat di bawah. 
 
"InsyaAllah, banyak lagi benda (perkara) yang kita hendak buat dengan syarat beri kepercayaan kepada kita (PAS) untuk memerintah negeri dan negara ini pada PRU14," jelasnya dihadapan lebih 400 warga pengundi Cina di Dun Chukai. -HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: