Rabu, 18 April 2018

Azizah tidak pernah sebut, pohon pembangunan di Parlimen

AGENDA DAILY




Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dibidas kerana tidak pernah menyebut atau meminta sebarang permohonan bagi pembangunan rakyat di Permatang Pauh semasa di Parlimen.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata wakil rakyat itu juga tidak pernah memohon sebarang infrastruktur sama ada pembinaan jalan kampung, lampu dan sebagainya bagi masyarakat kawasan itu.

"Selama lima tahun tidak ada apa yang dibawa pembangkang kepada Permatang Pauh. Yang mereka sebut adalah isu-isu seperti 1MDB yang tak ada kena mengena dengan masyarakat di sini.

"Yang selalu bawa masalah penduduk dan tebal-tebal dokumen kepada saya adalah Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said," katanya pada majlis mesra rakyat Permatang Pauh malam tadi.

Justeru katanya rakyat Permatang Pauh perlu celik dan sedar akan perkara itu serta memilih wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) yang senantiasa mengambil berat kebajikan rakyat.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut meluluskan permohonan hampir RM1 juta bagi pelbagai infrastruktur kepada penduduk setempat, antaranya bagi membaik pulih surau, rumah fakir miskin dan pembinaan jalan kampung.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa BN akan merampas semula kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan PAS yang dijangka bakal merebut kerusi itu pada pilihan raya kali ini akan memberi kelebihan kepada BN untuk menawan semula kerusi tersebut.

Ahad lepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai calon PAS bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU14

Tiada ulasan: