Ahad, 15 April 2018

281 AHLI PPBM PASIR SALAK SERTAI UMNO

Wartawan Watan-Online





Hilang keyakinan dan hanya memperjuangkan agenda politik pemimpin tertentu menjadi punca 281 ahli PPBM Pasir Salak bertindak keluar parti.

Perkara itu diluahkan oleh bekas Penolong Pendaftar PPBM, Zainal Abidin Hussin yang mengetuai ahli-ahli PPBM keluar parti dan menyertai UMNO semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

“Apa yang membuat kami semua keluar daripada PPBM kerana kami telah hilang keyakinan terhadap pemimpinnya yang hanya inginkan jawatan. Kami telah berpakat untuk keluar daripada PPBM.

“Kami tidak mahu lagi berpolitik dalam parti itu dan lebih baik bagi kami pulang kepada UMNO, parti yang menjadikan diri kami dari dahulu hingga kini.

“Dalam PPBM ini, berebut-rebut kuasa, perebutan jawatan. Jadi kami di peringkat bawahan tertanya-tanya ke mana arah kami nak pergi sekiranya mereka berebut-rebut di peringkat atasan,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Pasir Salak, Sabtu malam.



Majlis penyerahan borang keahlian itu turut dihidangkan dengan gimik apabila Zainal Abidin bertindak melempar borang-borang keahlian PPBM milik peserta yang lain dan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Tajuddin

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, pintu UMNO sentiasa terbuka menerima ahli PPBM yang telah melakukan kesilapan menyertai parti serpihan UMNO yang disifatkan sebagai parti orang kecewa.

“Saya menerima sahabat-sahabat baru dalam berjuang dengan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berapa lama lagi.

“Tadi sebanyak 281 borang dan saya percaya lebih ramai lagi untuk meninggalkan parti-parti dalam Pakatan Harapan dan menyertai Barisan Nasional (BN) dalam tempoh beberapa hari lagi,” ujarnya.


Tiada ulasan: